Teman lelaki Siti Nuramira tak mengaku buat hantaran jelik

Teman lelaki Siti Nuramira tak mengaku buat hantaran jelik

V. ALEXANDER Navin dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menghina agama Islam. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teman lelaki, Siti Nuramira Abdullah yang didakwa menghina Islam di sebuah kelab komedi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran (posting) video jelik sifatnya di laman sosial Instagram dan Youtube milik pasangan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, V. Alexander Navin, 38, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui laman sosial Instagram atas nama profil ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’, pada 5 Jun dan 16 Jun lalu.

Kedua-dua hantaran itu dibaca di Kondominium Perdana View, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana di sini, pada 10.30 pagi, 9 Julai lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Lelaki yang juga dikenali sebagai Alex dan pernah bekerja sebagai pengajar selam bebas (free diving instructor) itu mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris tidak mengemukakan sebarang jaminan terhadap tertuduh tetapi mencadangkan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan Alex dibebaskan dengan jamin.

Pendakwaan juga memohon tertuduh dikenakan syarat tambahan. 

“Memandangkan kes ini viral dan bagi mengelak tertuduh melarikan diri serta mendatangkan kegusaran kepada orang awam, saya memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang memuat naik sebarang hantaran berkenaan perjalanan kes di mana-mana media sosial sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, peguam belanya, R. Sivaraj merayu jaminan RM1,500 dikenakan bagi setiap pertuduhan memandangkan anak guamnya yang kini bekerja sebagai penulis bebas tidak memperoleh pendapatan tetap.

“Sebelum ini anak guam saya bekerja sebagai pengajar selam bebas, namun akibat pandemik Covid-19 pendapatannya terjejas akibat kejatuhan industri pelancongan ketika itu.

“Jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan amat tinggi kerana anak guam saya yang kini bekerja sebagai penulis bebas hanya berpendapatan RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Anak guam saya juga tidak akan melarikan diri dan dia memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya yang turut dibantu peguam bela, Ramesh N.P. Chandran.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 September untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Alex dan teman wanitanya, Siti Nuramira mulai tular di media sosial selepas rakaman video wanita itu bertindak menanggalkan tudung dan pakaiannya selepas mendakwa dirinya menghafaz 15 juzuk al-Quran. Alex telah bertindak memuat naik video teman wanitanya itu dalam kedua-dua platform tersebut.  

Sementara itu, pagi tadi, Siti Nuramira, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi, bulan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya