PASIR PUTEH: Seorang graduan tekad mengkomersialkan air cendol dengan memberi nilai tambah baharu dalam usaha menjadikannya minuman bertaraf antarabangsa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemegang Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Tuan Muhammad Muiz Tuan Nordin, 25, berkata, sajian cendol yang dijualnya ialah cendol royal mix fruit (gabungan 10 variasi buah-buahan), cendol aiskrim dan lain-lain snek penghias serta cendol pulut durian D24.
Menurutnya, perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu membuktikan cendol mempunyai pasaran dalam kalangan pembeli domestik dan luar negara.
“Saya menjalankan perniagaan cendol ini ketika masih belajar di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa dengan menjual secara dalam talian. Biasanya cendol yang dibotolkan itu ditempah pembeli secara dalam talian.
“Dari situlah saya membuka kios ‘Versatile Cendol’ bagi membolehkan penggemar cendol singgah untuk menikmatinya dan menyaksikan sendiri sajian moden,” katanya di sini semalam.
Tuan Muhammad Muiz memberitahu, selepas menamatkan pengajian, dia memberanikan diri membuka kios menggunakan modal yang dikumpulkan hasil jualan secara dalam talian sebelum ini.
Katanya, dia menggunakan lokasi di hadapan rumah keluarga yang terletak di laluan Tok Bali-Kuala Besut sebagai tapak gerai.
“Jangan pandang rendah pada cendol kerana ramai juga pelancong yang singgah untuk menikmatinya.
“Saya menghasilkan sendiri cendol, memasak pulut, kacang dan air manisan gula Melaka pada awal pagi sebelum membuka perniagaan bermula pukul 10.30 pagi sehingga 6.30 petang setiap hari,” jelasnya.
Ikon usahawan UMK itu yang lebih dikenali sebagai Abang Cendol berkata, dia mempelajari ilmu tersebut dengan tukang masak cendol yang tersohor dalam usaha menambah nilai minuman tradisional ini agar setaraf dengan minuman berjenama antarabangsa yang menjadi kegilaan anak muda masa kini.
“Alhamdulillah, hasil jualan agak memuaskan dengan penjualan antara 30 hingga 50 mangkuk sehari.
“Cita-cita saya untuk membesarkan kapasiti perniagaan akan diteruskan termasuk membuka cawangan di seluruh negara atau mencari pendekatan mengeksport minuman ini yang diproses secara sejuk beku ke negara Asia Barat,” katanya. – UTUSAN