Teater Muzikal Upin & Ipin kembali selepas sedekad - Utusan Malaysia

Teater Muzikal Upin & Ipin kembali selepas sedekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Animasi tempatan yang terkenal dengan slogan ‘Betul! Betul! Betul!’ terus menceriakan lagi industri animasi tanah air dengan Siri Jelajah Teater Muzikal Upin & Ipin.

Jelajah teater muzikal tersebut tidak hanya bakal berlangsung di Malaysia, malah melibatkan beberapa buah negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

Bukan itu sahaja, langkah besar bakal dilakukan Les’ Copaque dengan membawa pementasan itu ke Jeddah, Arab Saudi dan London, United Kingdom (UK).

Les’ Copaque tidak hanya mahu menjadi ‘jaguh kampung’ namun, membawa satu impian menjadikan animasi Upin & ipin setanding animasi luar negara seperti Disney dan Nickelodeon.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, menjadi impian dirinya dan isteri membawa Upin & Ipin serta Les’ Copaque dikenali seluruh dunia.

“Kita nak tengok karya Malaysia pergi ke peringkat antarabangsa setaraf dengan Walt Disney. Oleh itu, teater muzikal ini diadakan secara jelajah ke negara-negara yang terpilih.

“Kelainan dijanjikan pada teater kali ini kerana dipenuhi dengan elemen multimedia serta lagu digubah sendiri anak Les’ Copaque. Ini 100 peratus karya orang tempatan,” katanya.

Pin Pin Pom! menjadi pilihan tajuk siri jelajah teater muzikal Upin & Ipin dan rakan-rakan mengisahkan pengembaraan di dalam dunia magis melawan seorang nenek kebayanyang berniat tak baik.

Pementasan menggunakan maskot dilihat sebagai satu perkara yang mencabar, namun teater ini menjanjikan pengisian berbeza dari segi lakonan dan aksi.

JANJI KEPUASAN

Bertemakan sebuah pementasan animasi magis, teknologi terkini seperti teknik kesan khas, efek pencahayaan serta penggunaan LED skrin dipertaruhkan demi memastikan pengalaman baharu dan memuaskan buat para penonton.

Burhanuddin yang juga merupakan pemilik suara Tok Dalang dalam animasi itu mempunyai alasan tersendiri memilih Dewan Plenary berbanding Istana Budaya untuk pementasan kali ini.

“Kami teruja untuk pilih Dewan Plenary, kita faham tempatnya mahal, tetapi lokasi, infrastruktur, dan kelasnya tersendiri sangat bersesuaian dengan jenama Upin & Ipin.

“Les’ Copaque bukan satu syarikat yang memfokuskan persembahan fizikal. Untuk keluarkan sebuah filem pun sahaja mengambil masa lima tahun menerbitkannya. Apatah lagi teater, persiapan itu agak lama.

“Sebenarnya kita memang buat pementasan ini sebelum Covid-19 lagi, kita dah buat sidang media di Indonesia pada tahun itu, namun tiga hari selepas itu berlaku lockdown” katanya.

Sentuhan Rohaya Attan

Rohaya Attan yang juga pengarah pementasan teater muzikal Upin & Ipin 10 tahun lalu, memberi jaminan naskhah yang dipersembahkan kali ini sangat berbeza berbanding sebelumnya.

Cabaran pementasan teater menggunakan maskot pastinya sukar dalam menunjukkan emosi kepada penonton, namun anak seni ini menjaminkan perasaan mampu dicerita walaupun menggunakan maskot.

Menurut Rohaya, penggunaan audio dan suara latar akan memainkan peranan besar dalam menunjukkan emosi ketika pelakon berada di atas pentas.

“Sangat berbeza karya kali ini kerana dalam kelompok pelakon sangat rendah iaitu 20 orang berbanding persembahan muzikal sebelum ini di Istana Budaya.

“Dari segi lagu pula, kita ada 12 lagu baharu yang dicipta sendiri oleh Les’ Copaque, ini akan wujudkan suasana yang baru buat penonton.

“Di samping itu, dari segi jalan cerita adalah berbeza, termasuk juga set penggambaran dan props akan berubah sebab kita buat persembahan secara jelajah,” katanya.

Teater Muzikal Upin & Ipin Pin Pin Pom! kali ini diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 dan 4 September 2022.

Peminat boleh mendapatkan tiket dengan potongan harga 10 peratus di laman web Trip.com bermula daripada 15 Jun sehingga 14 Julai .

Bagaimanapun, bermula 15 Julai 2022, tiket akan kembali dijual pada harga asal melalui laman web My.BookMyShow.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya