Tarikan baharu jualan akhbar Utusan Malaysia

Tarikan baharu jualan akhbar Utusan Malaysia

MPP di universiti dibenarkan menjana pendapatan sendiri menerusi program keusahawanan membabitka perniagaan mesin layan diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Menarik, ada kelainan, satu pengalaman baharu.” Itu reaksi orang ramai terhadap mesin layan diri untuk pembelian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang memulakan operasinya semalam.

Pekerja swasta, Baharom Sofian, 35, selaku pembaca setia Utusan Malaysia berkata, kini dia boleh mendapatkan akhbar kegemarannya dengan mudah setiap pagi tanpa perlu merayau ke merata tempat yang sering kehabisan akhbar itu.

“Sepatutnya kemudahan ini sudah lama diperkenalkan. Saya berharap mesin ini dapat diperluaskan ke lokasi strategik lain dalam Lembah Klang dan mungkin seluruh negara,” katanya.

Orang ramai kini boleh membeli akhbar terbitan Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi perkhidmatan mesin layan diri yang terdapat di tiga lokasi strategik di Lembah Klang iaitu KL Sentral, Stesen LRT Bangsar serta LRT Ampang Park.

Mesin tersebut merupakan program perintis melibatkan kerjasama Atlas Vending, pengendali mesin layan diri makanan dan minuman (F&B) terbesar di Malaysia dan Singapura dengan Media Mulia Sdn. Bhd..

Dengan mesin layan diri yang beroperasi 24 jam, para pengguna boleh mendapatkan naskhah dua akhbar harian popular ini lebih awal sebelum kedai-kedai dibuka.

Bagi pelajar kolej swasta, Atiqah Leman, 19, dia membeli akhbar Utusan Malaysia kerana teruja dengan perkhidmatan baharu di samping boleh menggunakan bayaran tanpa tunai melalui e-dompet, kad kredit atau debit.

“Orang muda suka kalau teknologi baharu seperti ini, jadi saya berharap ia mungkin boleh diperluaskan di universiti dan kolej bagi memberi peluang generasi muda membaca akhbar,” katanya.

Bersempena produk baharu itu, Atlas Vending menawarkan Kopi Segera Wonda iaitu kopi segera Arabica 100 peratus premium yang pertama di dunia untuk setiap naskhah akhbar yang dibeli bagi memberi kesegaran dan ke­gembiraan kepada pelanggan serta meningkatkan pengalaman membaca mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN