KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2022/1444 Hijrah.
Manakala, Menteri Kanan (Hal Ehwal Agama Islam) Kemboja, Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Pengumuman kedua-dua tokoh dilakukan oleh pengacara majlis sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, malam tadi.
Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan dan diterima oleh masyarakat dalam serta luar negara.
Tokoh yang terpilih juga perlu memiliki pengetahuan dan pengalaman luas serta mempunyai sifat dan kepribadian unggul
Othman berkata, penganugerahan tersebut memberi semangat kepada diri beliau untuk terus meningkatkan usahanya dalam memperjuangkan agama Islam.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dan terkata kepada kerajaan Malaysia kerana memilih saya untuk menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah tahun ini.
“Penganugerahan ini memberi semangat pada saya dengan lebih lagi untuk meningkatkan syiar Islam demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam sidang media.
Sependapat dengan itu, Othsman turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memilihnya untuk menerima anugerah tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana beri saya anugerah setinggi ini,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE