KLUANG: Usia pembinaannya baru enam tahun, namun Taman X-Treme yang dibina di kawasan lapang seluas 0.4 hektar dan menelan kos jutaan ringgit itu kini terbiar dan mengalami banyak kerosakan.
Taman X-Treme yang dibina pada 2017 itu dikhususkan untuk peminat sukan basikal lasak dengan laluan kira-kira 200 meter.
Pengerusi Perhubungan Pertubuhan Sabar Bersama Rakyat Malaysia (Bara) Negeri Johor, Datuk Arjuna Putera Ali menyifatkan keadaan taman berkenaan amat merugikan apabila kemudahan itu tidak dapat digunakan oleh golongan muda yang berminat dalam sukan basikal lasak dan ekstrem.
Menurutnya, tidak diketahui apa punca, sama ada disebabkan kelemahan perancangan, pengurusan ataupun aspek teknikal sehingga menyebabkan kemudahan tersebut tidak dapat digunakan sehingga terbiar dan mengalami kerosakan tanpa diselenggara.
“Bagi mengelakkan projek ini terus membazir, sebaiknya ia diselenggara dan dibaiki semula oleh pihak yang berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Johor, Kamal Ariffin Abdul Rahman berkata, sekiranya Taman X-Treme itu dapat digunakan, secara tidak langsung dapat membantu peniaga kecil untuk membuka gerai jualan di kawasan berkenaan.
Katanya, akibat terbiar terlalu lama, banyak halangan yang dibina untuk kegunaan sukan basikal lasak ini sudah rosak. Kini tiada sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan dilakukan di situ.
“Kami amat berharap pihak berkaitan dapat memberikan perhatian terhadap kemudahan ini dan selain memberikan sedikit ruang kepada peniaga kecil.
“Saya percaya apabila ia dapat berfungsi semula nanti, pasti kawasan ini akan menjadi tumpuan ramai apatah lagi negara kini sudah melepasi fasa endemik wabak Covid-19,” katanya. – UTUSAN