PUTRAJAYA: Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang julung kali dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meletakkan tahap bahagia Keluarga Malaysia pada skor 6.48 iaitu bahagia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, MHI 2021 itu dibuat berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual.
Beliau berkata, MHI penting sebagai input dalam penilaian tahap kebahagiaan rakyat Malaysia di peringkat nasional dan negeri yang dapat digunakan dalam mencapai kemakmuran dan masyarakat yang inklusif.
“MHI 2021 ini juga selari dengan pendekatan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“MHI 2021 juga dibuat berdasarkan 73 indikator dan kemudianya dirangkum dalam 13 komponen iaitu keluarga, perumahan dan alam sekitar, penyertaan sosial, kesihatan dan kemudahan komunikasi.
“Komponen lain diukur termasuk pendidikan, persekitaran kerja, pendapatan, keselamatan awam, penggunaan masa, amalan kerohanian, kebudayaan dan pengalaman emosi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, walaupun kajian itu dibuat dalam tempoh ancaman Covid-19 dan kesukaran ekonomi namun, skor MHI 2021 yang diperoleh agak relevan dan bersesuaian memandangkan skor diperoleh tidak jauh beza.
Mohd. Uzir berkata, tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dikategorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 – 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01 – 4.00 tidak bahagia; 4.01 – 6.00 sederhana bahagia; 6.01 – 8.00 bahagia dan 8.01 – 10.00 sangat bahagia.
Menurutnya, rujukan utama yang digunakan dalam pelaksanaan survei ini adalah berdasarkan manual antarabangsa antaranya, World Happiness Report (WHR), Human Development Index (HDI) dan OECD Guidelines on Measuring Subjective Well-being.
“Secara keseluruhan, kesemua 13 komponen adalah berada di tahap bahagia antara skor 6.04 hingga 7.23 di mana skor indeks tertinggi yang dicatatkan adalah komponen keluarga iaitu 7.23, diikuti komponen amalan kerohanian (7.21) dan kesihatan (6.75). – UTUSAN