Tafsiran keliru, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin kesal

Tafsiran Shamrahayu mengelirukan, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin kesal

TANGKAP layar rakaman dua video oleh Shamrahayu yang telah menimbulkan rasa dukacita dan kesal Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang Teramat Mulia Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin di Negeri Sembilan hari ini menerusi satu kenyataan media menzahirkan rasa kesal berhubung pandangan dan tafsiran mengelirukan yang dibuat oleh Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Tafsiran tersebut adalah menerusi siaran bertajuk ‘Temu Bual Bicara Pakar: Sistem Pemerintahan Beraja Negeri Sembilan’ di saluran YouTube Perpustakaan UiTM oleh Shamrahayu bersama Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin pada 8 Julai lalu dan satu lagi video bertajuk ‘Kedaulatan Hanya Milik Raja Pemerintah’ yang disiarkan di Facebook Kursi Institusi Raja-Raja Melayu pada 20 Julai lalu.

“Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menzahirkan rasa dukacita dan kekesalan yang amat dalam dengan tafsiran mengelirukan, separuh masak dan tidak tuntas oleh Shamrahayu mengenai Perkara 181 yang menyentuh kedaulatan Pembesar-Pembesar Memerintah menerusi istilah ‘Raja bagi Negeri Sembilan’ dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Kenyataan beliau yang berubah dan tidak konsisten pada dua siaran itu cukup mengguris sensitiviti Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin selaku raja bersama di Negeri Sembilan.

“Sayugia dimaklumkan, tafsiran Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan itu hendaklah dibaca bersama Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan; Fasal 6, Fasal 28 dan Fasal 79 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Perkara 66 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) untuk pemahaman lebih tuntas dan tepat.

“Tafsiran itu juga wajar mengambil kira amalan sistem beraja di Negeri Sembilan antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin sejak Perjanjian Konfederasi Negeri Sembilan dimeterai pada 8 Ogos 1895,” menurut kenyataan itu lagi.

Menerusi kenyataan itu, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad juga menzahirkan rasa kecewa dan terguris dengan tindakan Shamrahayu yang tidak bersungguh-sungguh memperbetulkan kekhilafan yang dilakukan apabila dihubungi secara langsung menerusi aplikasi WhatsApp pada 22 Julai 2022.

“Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin telah memberi teguran terhadap UiTM dan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu supaya tidak lagi menyentuh secara semberono akan kedudukan Pembesar-Pembesar Memerintah yang menjadi sebahagian institusi raja bagi Negeri Sembilan,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya