KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan amaran terakhir terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana membuat komen dan menerbitkan semula komen-komen berkait dengan perbicaraan penyelewengan dana yang dihadapinya di laman sosial miliknya.
Amaran itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin memaklumkan bahawa Syed Saddiq telah menyiarkan semua satu hantaran (posting) yang dibuat oleh rakannya, Ahmad Zarul Afiq berhubung mempertikaikan kredibiliti saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali.
Pendakwa Raya itu juga memaklumkan satu laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu.
Menurut laporan polis tersebut, Syed Saddiq juga telah membuat hantaran di Instagram miliknya mempertikaikan kredibiliti Rafiq serta membaut dakwaan bahawa pertuduhannya adalah pendakwaan politik.
“Perkara ini sangat serius. Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi lain juga telah memberikan pelbagai komen mengenainya. Jadi anggap ini adalah amaran terakhir (final warning). Saya harap semua pihak tidak lagi membuat sebarang komen,” kata hakim itu.
Selepas pihak pendakwaan membangkitkan isu tersebut, Syed Saddiq bangkit dan memohon maaf atas keterlanjurannya itu.
Peguam bela, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga memaklumkan mahkamah, anak guamnya telah memadamkan hantaran tersebut.
Ini adalah permohonan maaf kedua yang dibuat oleh pihak pembelaan Syed Saddiq berhubung perkara yang sama dalam tempoh seminggu.
Pada 4 Julai lalu, hakim sama telah mengeluarkan peringatan kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.
Ia selepas salah seorang peguam, Lim Wei Jit mendedahkan pembelaan Syed Saddiq dalam satu sidang media bertarikh 21 Jun lalu.
Pada 19 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan juga telah memberikan saranan agar Syed Saddiq berhati-hati mengeluarkan sebarang komen di laman sosial berkaitan pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan harta yang dihadapinya.
Hakim Mohamed Zaini turut menasihati bekas Menteri Belia dan Sukan itu agar membezakan kedudukannya selaku ahli politik dan tertuduh yang sedang dibicarakan di mahkamah.
Sementara itu, berhubung permohonan pihak pembelaan untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim, mahkamah menetapkan 18 Julai ini untuk memutuskan sama ada prosiding tersebut boleh dimulakan.
Wan Shaharudin sebelum itu menghujahkan, untuk mencabar kredibiliti saksi itu, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi.
“Memandangkan pernyataan bertulis tersebut tidak ditandatangani oleh saksi berkenaan, maka pra-syarat pertama di bawah Seksyen 402B (2) Kanun Tatacara Jenayah gagal dipatuhi,” katanya.
Gobind bagaimanapun memohon agar mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan pihak pembelaan mencabar kredibiliti saksi itu.
Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Selain itu, Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN