Syed Saddiq gagal cabar kredibiliti saksi utama pendakwaan - Utusan Malaysia

Syed Saddiq gagal cabar kredibiliti saksi utama pendakwaan

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan, Rafiq Hakim Razali dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas berpendapat, pernyataan Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti beliau.

Mahkamah berpuas hati dengan hujah pendakwaan bahawa pernyataan saksi yang dipohon itu tidak tertakluk di bawah definisi Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah.

Ekoran keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq mengemukakan permohonan baharu untuk mendapatkan kenyataan Rafiq yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 semasa siasatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan lisan itu kerana tiada keperluan untuk mencabar kredibiliti saksi tersebut pada peringkat ini.

Pendakwaan menghujahkan, ini kerana Rafiq telah mengaku ketika memberi keterangan bahawa terdapat sedikit percanggahan keterangannya di mahkamah dengan pernyataan saksi.

“Oleh itu, tiada keperluan untuk menggunakan pernyataan yang direkodkan oleh SPRM untuk mencabar kredibiliti saksi. Permohonan pihak pembelaan seolah-olah ‘fishing expedition‘. Tambahan pula, pernyataan yang direkodkan oleh SPRM adalah suatu ‘privileged document‘,” katanya.

Azhar menetapkan Jumaat ini bagi mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung permohonan itu.

Perbicaraan bersambung esok.

Pada 7 Julai lalu, pembelaan membuat permohonan untuk mencabar kredibiliti Rafiq berhubung kandungan pernyataan saksinya yang didakwa bercanggah dengan keterangan lisan di mahkamah.

Bagaimanapun, pendakwaan berhujah bahawa pernyataan saksi Rafiq tidak mempunyai asas undang-undang kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakannya di mahkamah.

Dalam keterangannya awal bulan ini, Rafiq memberitahu mahkamah bahawa Syed Saddiq telah memintanya untuk mengeluarkan RM1 juta ketika satu mesyuarat di rumah tertuduh di Petaling Jaya pada Mac 2020.

Namun, ketika pemeriksaan balas, Rafiq berkata Syed Saddiq hanya menyebut jumlah RM1 juta itu dalam satu panggilan telefon.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. (pertuduhan pindaan kedua)

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya