PETALING JAYA: Beberapa syarikat gergasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat terkemuka Turkiye bagi menarik peluang pelaburan baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu dalam masa sama membolehkan kedua-dua pihak meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk teknologi perbankan digital dan kewangan Islam.
Katanya, syarikat-syarikat yang mengadakan perundingan pelaburan itu termasuk Khazanah Nasional Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. di samping Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).
“Menghadiri sesi pertemuan perniagaan melibatkan syarikat-syarikat gergasi Malaysia dengan syarikat-syarikat terkemuka Turkiye.
“Turkiye merupakan antara negara pengeksport tepung gandum terbesar dunia dan pada pertemuan ini, Boustead Holdings Bhd. (Boustead) berbincang dengan Oyak bagi meneroka peluang perdagangan komoditi dua hala yang fokuskan sekuriti makanan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan Karadeniz Technical University (KTU); di samping UMK dengan Karabuk University (UNIKA) selain pemeteraian Dokumen Persefahaman antara Boustead dengan Great East Capital Bigli Teknologi Yatirimlari (GEC).
Perdana Menteri dalam lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye, bermula kelmarin atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Esok, beliau dijadual bertemu dengan Erdogan sekali gus memberikan peluang kepada kedua-dua mereka untuk meneliti perkembangan pelaksanaan Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja Kerjasama Strategik yang dimeterai pada tahun 2014.
Antara perkara utama yang akan dibincangkan semasa lawatan rasmi itu ialah kerjasama pasca Covid-19, pertahanan dan industri aeroangkasa serta usaha bersama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Sempena lawatan itu, Malaysia dan Turkiye dijangka memuktamadkan beberapa memorandum persefahaman dalam bidang kerjasama pendidikan, kesihatan, media dan komunikasi, pelancongan kesihatan serta kolaborasi perniagaan. – UTUSAN