PETALING JAYA: Syarikat di negara ini digesa untuk tidak ketinggalan dari segi pendigitalan dalam sektor perniagaan masing-masing.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keupayaan teknologi untuk menghubungkan perniagaan, pelanggan dan rangkaian bekalan kini bergerak laju.
Sehubungan itu, katanya, sektor perniagaan perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memulihkan operasi dan aktiviti ekonomi.
Katanya, ini kerana pemulihan ekonomi adalah bergantung kepada membina semula kepercayaan dan keyakinan sektor awam, swasta serta campur tangan kerajaan.
“Saya berharap Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2022 akan menjadi sumber inspirasi kepada sektor korporat dan perniagaan bagi meningkatkan model perniagaan masing-masing untuk kekal berdaya saing dalam industri.
“Pada masa yang sama, saya percaya semua perwakilan akan mengambil kesempatan daripada yang ilmu baharu yang dibincangkan dalam persidangan kali ini,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan tersebut yang dijalankan secara atas talian, hari ini.
Menurut Alexander, konsep kemampanan menjadi keutamaan dalam strategi perniagaan susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sebelum ini.
Katanya, kebanyakan sektor perniagaan juga mula berintegrasi konsep kemampanan terutamanya dalam mencapai petunjuk prestasi utama (KPI).
“Tempoh sekarang adalah mungkin adalah masa yang paling tepat untuk mengukuhkan tadbir urus korporat dan mencapai kemampanan.
“Ia juga amat bersesuaian dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menetapkan hala tuju untuk mencapai Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya. – UTUSAN