Suspek kes pecah rumah dicekup tikam polis dengan gunting - Utusan Malaysia

Suspek kes pecah rumah dicekup tikam polis dengan gunting

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH:  Seorang pemandu lori dicekup selepas cuba membunuh anggota polis berpangkat Lans Koperal dengan menikam lengannya semasa menjalankan serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Sentosa, Bukit Bidang dekat Selising di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam semasa sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok menyerbu rumah lelaki berusia 35 tahun itu yang merupakan suspek bagi beberapa kes pecah rumah di daerah ini dan Bachok.

 Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superitendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan mendapati, suspek cuba untuk melarikan diri dari bahagian dapur ke pintu depan rumah semasa anggota polis tiba di rumah berkenaan.

Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan polis sebelum lelaki itu bertindak menikam lengan salah seorang anggota polis selepas dia dipercayai panik melihat sepasukan pihak berkuasa mengepung rumahnya.

“Tikaman gunting itu turut menyebabkan anggota polis menerima lima jahitan pada lengan kanannya di Klinik Kesihatan Bachok dekat sini.

“Suspek juga cedera pada bahagian kepala sehingga menerima empat jahitan, bengkak pipi kiri, lebam mata kiri dan luka pada tubuhnya akibat pergelutan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaizul Rizal memberitahu, siasatan lanjut turut mendapati, suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan di lokasi kejadian turut menemui sebilah gunting berwarna merah yang dipercayai digunakan semasa menikam anggota polis.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga Khamis ini,” katanya.

Tambah Zaizul Rizal, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh anggota polis. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya