MELAKA: Teka-teki sama ada berlaku undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berakhir hari ini terjawab, apabila mesyuarat tersebut ditangguhkan tanpa usul berkenaan.
Raut wajah dan nada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali ketika mengadakan sidang akhbar di Seri Negeri di sini juga nampak tenang, selepas berjaya membuktikan kerajaan negeri tidak berdepan masalah dalaman seperti didakwa sesetengah pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu berkata, sejak spekulasi berkenaan tular, beliau kekal berfikiran positif kerana meyakini sokongan padu 20 ADUN Barisan Nasional (BN) adalah utuh, memandangkan hubungannya dengan kesemua mereka sentiasa dalam keadaan baik.
“Saya tak tahu mana datangnya (undi tidak percaya) dan saya yakin pada ketika itu, siapa sahaja yang berani buat undi tak percaya? Sebab kita akan menghadapi satu lagi pilihan raya negeri (PRN), apakah kita nak buat sekali lagi PRN?
“Alhamdulillah, saya dan 20 rakan ADUN BN tidak mempunyai sebarang masalah dan saya percaya ketika itu, mana mungkin akan ada undi tidak percaya terhadap saya. Saya tak mahu tuduh sesiapa dan seperti saya katakan tempoh hari, saya sentiasa berlapang dada, jangan susah hati kerana kerajaan ini milik Allah,” katanya.
Sebelum sidang bermula, ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, lima ADUN Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mengambil pendekatan berkecuali, sekiranya usul undi tidak percaya ke atas Sulaiman dibawa.
Katanya, meskipun aspirasi pembangkang dalam dewan kebiasaannya bertentangan dengan usul dibawa kerajaan, namun kali ini PH melihat bahawa perkara itu langsung tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.
Tambah Sulaiman, rakyat pada hari ini bijak menilai segala khabar angin yang cuba ditiupkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Allah boleh beri kepada sesiapa sahaja (jawatan) dan memuliakan sesiapa sahaja dan pada masa sama boleh mencabut dan menghina sesiapa sahaja yang dikehendaki. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil, jadi sekarang ini kerajaan kita sudah cukup stabil, tak usah bimbang.
“Nanti sidang dewan akhir tahun untuk bajet, keluar lagi usul undi tidak percaya ini. Jadi rakyat di Melaka ini (asyik) dimomok-momokkan dengan kisah undi tidak percaya sahaja,” jelasnya dengan nada jenaka. – UTUSAN