IPOH: Tidak berperikemanusian dan kejam.
Itu perilaku lelaki yang dipercayai membunuh abang dan kakak iparnya dengan cara menetak mangsa menggunakan kapak hingga menyebabkan kepatahan tengkorak dan pendarahan di bahagian otak.
Malah, perbuatan suspek tidak berhenti setakat itu sahaja apabila dia turut menjerut leher mangsa meskipun selepas tidak bernyawa.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat suami isteri itu mendapati punca kematian akibat objek tajam dan tumpul di bahagian kepala.
Katanya, pemeriksaan luaran pada si mati juga mendapati terdapat beberapa luka akibat dipotong, tetakan, tikaman dan luka koyak di bahagian kepala.
“Luka-luka tersebut menyebabkan kepatahan tengkorak dan pendarahan di bahagian otak kedua-dua mangsa.
“Malah, pemeriksaan bahagian leher si mati lelaki juga mendapati terdapat kesan jerutan di mana kecederaan berlaku selepas kematian mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, bedah siasat oleh pakar perubatan forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) itu dilakukan ke atas si mati lelaki semalam manakala mayat isterinya pula selesai dibedah siasat hari ini.
“Kedua-dua mayat tersebut telah dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
Semalam, mayat suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah di Taman Bercham Aman, Bercham di sini.
Mayat kedua-dua mangsa dengan kesan kecederaan parah di kepala itu dijumpai oleh abang kepada mangsa lelaki pada pukul 8.50 pagi.
Suspek yang juga adik mangsa lelaki bagaimanapun berjaya diberkas di sebuah hotel di Genting Highlands pada pukul 7.45 malam, semalam.
Suspek ditangkap bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden pembunuhan berkenaan. – UTUSAN ONLINE