Strategi kawalan, pencegahan JKN Perlis hasil kejayaan tangani Covid-19

Strategi kawalan, pencegahan JKN Perlis hasil kejayaan tangani Covid-19

TUANKU Syed Faizuddin (tengah) berkenan menyerahkan sumbangan zakat kepada 30 asnaf terpilih  oleh amil kariah Masjid Kampung Kota Kayang, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Strategi pengawalan dan pencegahan wabak Covid-19 yang dilaksanakan secara sistematik oleh Jabatan Kesihatan negeri di bawah kepemimpinan Pengarahnya, Dr Sirajuddin Hashim membuahkan kejayaan dalam menangani krisis kesihatan tersebut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penilaian risiko secara berterusan telah memberikan analisis data yang khusus kepada penularan wabak itu dalam membantu anggota barisan hadapan bertindak pantas.

Titah baginda, strategi kawalan wabak berkenaan yang turut diubah suai mengikut dapatan data tersebut juga membuahkan hasil walaupun ada ketikanya ia kelihatan seperti melawan arus.

“Ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perlis sangat tegas terhadap kemasukan individu dari luar yang berisiko dan mengarahkan proses kuarantin bagi memastikan risiko penularan wabak berkenaan kekal rendah,” titah baginda dalam Program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli sempena perpisahan Dr. Sirajuddin yang bakal bertukar ke Perak berkuat kuasa hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih untuk diagihkan oleh amil kariah Masjid Kampung Kota Kayang.

Dalam pada itu, Dr. Sirajuddin dalam ucapannya berkata, sepanjang perkhidmatan pelbagai pengalaman telah diperoleh sewaktu menjalankan tugas di negeri ini.

“Segala titah Tuanku Raja Muda akan sentiasa tersemat dalam hati sebagai inspirasi kepada saya untuk dijadikan pembakar semangat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya