SPRM nafi lindung, bersikap pilih kasih terhadap Muhyiddin - Pegawai penyiasat - Utusan Malaysia

SPRM nafi lindung, bersikap pilih kasih terhadap Muhyiddin – Pegawai penyiasat

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat menafikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap ‘pilih kasih’ kerana tidak menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin meskipun wujud dakwaan bekas Perdana Menteri itu pernah mengeluarkan sejumlah wang yang banyak milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Penguasa Kanan SPRM, Mohd. Syahmeizy Sulong, 37, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tiada keterangan dirakam daripada Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kerana beliau hanya menumpukan siasatan terhadap kes penyelewengan dana Armada melibatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau turut menafikan SPRM dijadikan alat untuk mendakwa pihak-pihak tertentu dan melindungi yang lain kerana siasatannya ketika itu hanya menjurus kepada pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Armada yang dibuat tanpa kelulusan pimpinan tertinggi Bersatu.

Pegawai penyiasat itu juga tidak bersetuju bahawa SPRM diberikan tekanan politik dan dipergunakan untuk mengenakan Syed Saddiq berkaitan kes penyelewangan wang RM1 juta.

Menjawab soalan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, saksi menafikan SPRM tidak ‘mampu’ berbuat apa-apa terhadap Muhyiddin kerana agensi itu ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Gobind: Kamu ‘double standard‘ (pilih kasih) sebab tak siasat Muhyiddin. Aduan terhadap orang lain kamu siasat.
Mohd. Syahmeizy: Tidak setuju kerana saya hanya fokus terhadap pengeluaran wang RM1 juta yang didakwa melanggar Perlembagaan Bersatu.

Gobind: Jadi kamu hanya fokus kepada Syed Saddiq dan tidak menyiasat orang lain kerana ingin melindungi mereka?
Mohd. Syameizy: Tidak setuju.

Terdahulu, pegawai penyiasat di Bahagian Forensic Technologies SPRM, Nor Fadhillah Mohd. Salleh turut menafikan nama Muhyiddin disebut dalam rakaman video yang dibuat oleh Syed Saddiq berkaitan pengeluaran wang daripada akaun Bersatu.

Nor Fadhillah menyatakan, rakaman video itu tidak dimainkan secara keseluruhan sebaliknya hanya diputar pada minit-minit tertentu pada prosiding semalam sehingga menyebabkannya keliru.

Gobind: Dalam video itu, diberitahu Muhyiddin keluarkan wang besar tanpa kebenaran.
Nor Fadhillah: Saya tak dengar nama Muhyiddin seperti yang Tuan sebut. Saya hanya dapat arahan untuk lihat minit-minit tertentu dalam video berkenaan.

Gobind: Kamu bersedia buat laporan polis terhadap Muhyiddin?
Nor Fadhillah: Saya tak dengar nama pemimpin itu disebut dalam rakaman video.

Saksi pendakwaan ke-24 itu turut ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengapa beliau tidak bersetuju dengan saranan pembelaan supaya membuat laporan polis terhadap Muhyiddin.

Nor Fadhillah berkata, tugasnya sebagai pegawai forensik hanya mengeluarkan data daripada rakaman video tanpa perlu melihat keseluruhan video sebelum data itu disalin ke dalam DVD dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya