KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa sengaja melengah-lengahkan pendakwaan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selama hampir enam bulan bertujuan memberi tekanan politik terhadap beliau agar menyokong kepimpinan tertentu.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu mendakwa, SPRM menggunakan izin untuk mendakwa (consent to prosecute) yang telah diperolehi bertujuan mengugut Ahli Parlimen Muar itu supaya menyokong kepimpinan tertentu jika tidak mahu dihadapkan ke mahkamah.
Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini diberitahu, izin untuk mendakwa dikeluarkan oleh Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM pada 4 Januari 2021 namun Ahli Parlimen Muar itu hanya dihadapkan ke mahkamah selepas enam bulan iaitu pada 22 Julai tahun yang sama.
Penguasa Kanan SPRM, Mohd. Syahmeizy Sulong, 37, bagaimanapun menafikan dakwaan pihak pembelaan atas alasan lima kertas siasatan yang dibuka terhadap Syed Saddiq ketika itu masih belum siap sepenuhnya.
Pegawai penyiasat bagi kes penyelewengan dana Armada Pusat itu berkata, lima siasatan itu berbeza aduan dan maklumat dan beliau perlu memastikan keterangan saksi selaras dengan kertas siasatan lain dan tidak bertindan.
Gobind: Izin diberikan untuk mendakwa tetapi kamu tidak teruskan dengan pendakwaan?
Mohd. Syahmeizy: Betul.
Gobind: Kamu hold dulu?
Mohd. Syahmeizy: Betul.
Gobind: Siapa yang arahkan kamu utk hold dulu?
Mohd. Syahmeizy: Tiada siapa arahkan untuk hold.
Gobind: Dalam kes ini, kamu diarahkan untuk tidak mendakwa SS, hold dulu?
Mohd. Syahmeizy: Tidak setuju.
Gobind: Sebenarnya, ini adalah kerana kamu nak gunakan izin itu untuk mengugut Syed Saddiq dan beritahu beliau bahawa izin sudah diberikan dan beliau perlu menyokong kepimpinan tertentu sekiranya tidak mahu didakwa.
Mohd. Syahmeizy: Tidak benar.
Ketika ditanya Gobind, saksi menyatakan beliau tidak pernah menghubungi Syed Saddiq supaya bersedia ke mahkamah untuk dituduh.
Sebaliknya beliau berkata, arahan itu dibuat oleh Ketua Cawangan Siasatan B, SPRM dikenali sebagai Abdul Malik.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN