Sime Darby Property, LOGOS majukan E-Metro Logistics Park - Utusan Malaysia

Sime Darby Property, LOGOS majukan E-Metro Logistics Park

Azmir (dua dari kiri) dan Amirudin (tiga dari kanan) melakukan gimik pada Majlis Pecah Tanah E-Metro Logistics Park di Bukit Raja hari ini.-UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sime Darby Property Berhad dan LOGOS SE Asia Pte. Ltd. (LOGOS  Property) melalui usaha sama mereka (SDPLOG) telah menzahirkan satu detik pencapaian yang penting dengan permulaan kerja-kerja asas aset sulungnya, E-Metro Logistics Park di Bandar Bukit Raja, di sini.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, E-Metro Logistics Park adalah pembangunan perindustrian dan logistik pertama di bawah Dana Pembangunan Perindustrian (Dana) sulung SDPLOG yang baru-baru ini telah mengumumkan komitmen modal sebanyak 70 peratus yang diperolehi pada Penutupan Pertama untuk saiz  dana sehingga AS$250 juta. 

“Dana patuh syariah tersebut akan dipacu oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan dana-dana unit amanah di bawah pengurusannya serta Kumpulan Wang  Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), dengan Sime Darby Property dan LOGOS Property sebagai penaja dan pelabur bersama dalam Dana.

“E-Metro Logistics Park yang dibangunkan dalam perbandaran Sime Darby Property di Bandar Bukit Raja adalah sebuah pembangunan logistik pegangan bebas berkeluasan 177 ekar yang akan menjadi sebuah taman logistik yang mampan, berskala besar dan bersepadu berjumlah lapan juta kaki persegi Kawasan Boleh Disewa Kasar (GLA) apabila siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita sempena Majlis Pecah Tanah E-Metro Logistics Park di Bandar Bukit Raja yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Azmir berkata, pihaknya mengaktifkan bank tanah milik mereka di lokasi-lokasi strategik untuk memperoleh lebih banyak nilai untuk jangka panjang dan memajukan penawaran pembangunan perindustrian dan logistik syarikat.

Katanya, bersama-sama dengan LOGOS Property, pihaknya membangunkan aset hartanah logistik berkualiti tinggi dan mampan yang bakal memberikan penyelesaian bersepadu dengan kemudahan bertaraf global untuk pihak berkepentingan dan pelabur syarikat. 

“E-Metro Logistics Park akan mendapat manfaat daripada permintaan tinggi untuk penyelesaian logistik dan pergudangan di Lembah Klang, berikutan aliran perdagangan global dan pembangunan rantaian bekalan selain peralihan keutamaan pengguna untuk barangan yang dipesan lebih awal dan dibuat khas untuk keperluan mereka,” katanya.

Sementara itu Ketua LOGOS Malaysia, David Aboud berkata, pihaknya memulakan pembangunan strategik tersebut untuk SDPLOG serta rakan-rakan modal mereka dan pihaknya juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan perniagaan-perniagaan tempatan untuk membina E-Metro Logistics Park.

“Baru-baru ini, kami telah menganugerahkan kontrak pembinaan induk pertama kepada kontraktor tempatan dan pasukan reka bentuk untuk fasa seterusnya merangkumi sebuah firma seni bina tempatan yang terkenal.

“Ini menunjukkan bakat berdaya saing global di dalam sektor pembinaan Malaysia, disokong dengan kepakaran tempatan dan serantau hasil rangkaian SDPLOG yang akan menyaksikan kami menyampaikan penyelesaian logistik yang moden dan terkini untuk pasaran Malaysia,” katanya.

Sementara itu Amirudin memaklumkan, lokasi strategik E-Metro Logistics Park dan hubungannya dengan lebuh raya utama, pelabuhan dan lapangan terbang di samping kemudahan-kemudahan logistiknya yang menarik, menjadikan ianya sesuai sebagai hab rantaian bekalan serantau.

“Pembangunan ini akan menyokong matlamat kami untuk meningkatkan sektor yang didorong oleh perindustrian bagi Selangor serta mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim dan hab logistik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya