[SIDANG DUN] Tiga ADUN Melaka tak puas hati jawapan Exco - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN] Tiga ADUN Melaka tak puas hati jawapan Exco

MOHD. Noor Helmy Abdul Halem (kiri) dan Kerk Chee Yee ketika sesi pertanyaan jawab lisan Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cara Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem menjawab soalan tambahan mengundang rasa tidak puas hati beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Pertanyaan Mohd. Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai mekanisme pemantauan oleh penguat kuasa bagi mengekang kenaikan harga barang dikatakan tidak dijawab dengan baik oleh Hee Sem.

Mohd. Noor Helmy menegaskan, soalan diajukan adalah berkaitan pemantauan dan bukannya mengenai inisiatif jualan murah yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Jawapan tidak menjawab soalan. Saya bertanya tentang penguatkuasaan yang telah dilaksanakan dan bagaimana mekanisme penguatkuasaan itu dipantau agar selaras dengan kawalan yang perlu kita buat,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Seri Negeri hari ini.

Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) turut bangun dan bersetuju dengan Mohd. Noor Helmy serta menuntut Hee Sem memberikan jawapan yang lebih jelas.

Sementara itu, Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) juga tidak berpuas hati apabila soalan pertamanya didakwa tidak berjawab, namun Yang Dipertua DUN, Datuk Ibrahim Durum tidak membenarkan beliau mencelah kerana gilirannya bertanya sudah berlalu.

Tegas Ibrahim, jika masih terdapat soalan yang belum dijawab, maka ADUN yang bertanya seharusnya bangun untuk memohon semula jawapan sebelum soalan tambahan lain dibuka.

“Apabila saya sudah membenarkan soalan tambahan kedua daripada Duyong (Mohd. Noor Helmy), maka tidak boleh lagi untuk ulang semula bagi mendapatkan jawapan. YB (Yang Berhormat) boleh dapatkan jawapan bertulis selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya