Siasatan bukan untuk kenakan Syed Saddiq - Pegawai penyiasat

Siasatan bukan untuk kenakan Syed Saddiq – Pegawai penyiasat

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan bertujuan mengenakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebaliknya untuk menyiasat sumber wang RM250,000 yang dilaporkan hilang di kediaman beliau.

Penguasa Kanan SPRM, Muhamad Khairi Muhamad Rodi, 33, turut menafikan SPRM menyalahguna kuasa untuk mengenakan Ahli Parlimen Muar itu.

Ujarnya, beliau menerima arahan daripada seorang pegawai atasan dan seterusnya melakukan siasatan di rumah Ahli Parlimen Muar itu pada 31 Mac 2020.

Saksi pendakwaan ke-22 itu memberi keterangan pada perbicaraan Syed Saddiq, 29, terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Muhammad Khairi yang juga pegawai penyiasat kes kehilangan wang RM250,000 selanjutnya berkata, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka dalam kes berkenaan termasuk di bawah Seksyen 27 Akta SPRM berkaitan laporan palsu.

Menjawab soalan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, Muhammad Khairi berkata, ketika itu siasatan dilakukan tanpa mengikut seksyen tertentu kerana aduan yang diterima secara umum.

Gobind: Saya katakan kamu cari kes terhadap Syed Saddiq sedangkan ketika itu tiada langsung kes terhadapnya.

Muhammad Khairi: Tak setuju.

Gobind: Siapa yang beri arahan kepada kamu?

Muhammad Khairi: Pegawai atasan.

Gobind: Kenapa ada orang atasan yang beri arahan untuk kenakan Syed Saddiq dalam kes ini?

Muhammad Khairi: Siasatan adalah berdasarkan arahan pegawai atasan SPRM dan segala tindak tanduk kami perlu dilaporkan kepada pegawai atasan.

Gobind: Apa yang berlaku, kamu tidak ada kes spesifik terhadap Syed Saddiq namun ketika itu ada arahan pergi ke situ (rumah) untuk cari satu kes terhadapnya.

Muhammad Khairi: Saya tak setuju.

Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi berkata, apa jua aduan dan maklumat yang diterima, pihaknya akan meneruskan dengan siasatan.

“Jadi tiada siasatan terpilih atau siasatan untuk mengenakan orang di dalam kes ini. Saya ke rumah YB Syed Saddiq adalah untuk mendapatkan dokumen atau maklumat yang boleh membantu siasatan saya ketika itu,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya