SHAH ALAM: Sembilan anggota polis disiasat selepas disyaki terlibat dalam kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak berkaitan dadah, baru-baru ini.
Mereka disiasat selepas polis menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.
Kesemua anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, tindakan itu dilaksanakan selaras dengan siasatan tatatertib.
“Sembilan anggota berpangkat Konstabel hingga Sub Inspektor itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Mereka dipercayai memeras berkaitan kes memiliki dadah,” katanya hari ini.
Jelas Sasikala Devi, semakan mendapati pengadu turut memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah.
Tambah beliau, tindakan itu turut dimaklumkan di peringkat Bukit Aman bagi arahan pertukaran keluar.
“Polis Selangor tidak sesekali berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah dan dadah,” ujarnya.- UTUSAN