PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak masyarakat di negara ini menerapkan semangat juang pahlawan dan kecintaan kepada negara sempena sambutan Hari Pahlawan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, tanggal 31 Julai disambut bagi memperingati perajurit negara dan mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka.
“Keamanan yang kita kecapi ini adalah hasil daripada para pahlawan yang berjuang demi mempertahan tanah air yang berdaulat ini.
“Perjuangan mereka begitu besar sehingga sanggup mengorbankan nyawa ke titisan darah terakhir bagi tanah air yang tercinta.
“Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, marilah kita sematkan semangat juang para pahlawan dan kecintaan kita dengan menjadi pewaris negara yang penuh bertanggungjawab terhadap ibu pertiwi. Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2022,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. – UTUSAN