Semangat haji cilik berihram di awal pagi - Utusan Malaysia

Semangat haji cilik berihram di awal pagi

ANTARA peserta program simulasi haji AHA anjuran PPAKK di pekarangan Masjid Tunku Sallehuddin, Bandar Puteri Jaya, di Sungai Petani. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tidak meragam selain terpaksa bangun dan hadir awal ke tadika berbanding hari biasa antara semangat luar biasa ditunjukkan murid tadika yang mengikuti program simulasi haji di pekarangan Masjid Tunku Sallehuddin, Bandar Puteri Jaya, di sini semalam.

Program Amali Hajj Atfal (AHA) anjuran Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak Negeri Kedah (PPAKK) itu disertai seramai 520 orang murid tadika berusia antara empat hingga enam tahun dari 27 buah tadika di negeri ini.

Pengerusi PPAKK, Ku Rahmah Ku Bahari berkata, program simulasi haji yang berlangsung seawal pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid mengenai rukun Islam kelima.

Katanya, semua peserta hadir ke program tersebut dengan berpakaian ihram berwarna putih yang lengkap dengan beg haji dan replika pasport.

Menurutnya, pada program itu, mereka dibimbing melaksanakan rukun haji antaranya wukuf, sai’e, melontar jamrah, tahallul dan tawaf mengelilingi replika Kaabah dengan dipantau oleh guru masing-masing.

“Guru-guru pembimbing telah diberi kursus mengenai tatacara pelaksanaan ibadah haji terlebih dahulu sebelum mereka dapat melatih murid-murid.

“Mereka dilatih selama dua minggu di tadika masing-masing sebelum dikumpulkan di sini untuk melaksanakan simulasi rukun haji secara beramai-ramai,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Sementara itu, seorang guru dari Tadika Anakku Khalifah Cemerlang, Baling, Nasriah Baharom, 30, berkata, semua muridnya menunjukkan komitmen dan keterujaan yang luar biasa untuk menyertai program tersebut.

“Waris-waris memaklumkan anak-anak mereka bangun awal dan tidak meragam untuk ke sekolah kerana teruja untuk menghadiri program tersebut.

“Biasanya, ada yang datang tadika terus tertidur kerana mengantuk tetapi pada program ini, semua nampak segar dan bertenaga sehingga program tersebut tamat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN