Semak fakta pendaratan Amelia Earhart di Taiping - Utusan Malaysia

Semak fakta pendaratan Amelia Earhart di Taiping

NOLEE Ashilin Mohammed Radzi (empat dari kanan) merasmikan Pelancaran Lorong Seni@Lorong Panglima di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyemak fakta berhubung isu pendaratan Juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart di Lapangan Terbang Tekah, Taiping.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, sekiranya benar terdapat percanggahan fakta berkenaan perkara itu, pembetulan akan dibuat.

“Selalunya memang disemak (fakta), proses itu mesti ada semakan. Selalunya kita akan mohon kepada pihak terbabit juga untuk sediakan bukti bahawa fakta itu sahih.

“Mungkin ada percanggahan daripada segi pendapat di situ, saya masih belum dapat maklum balas jadi saya tak boleh komen lebih lanjut, tetapi kita akan bincang semula dengan Yang Dipertua MPT,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Lorong Seni@Lorong Panglima di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perdebatan mural Amelia Earhart pada dinding sebuah premis di Jalan Abdul Jalil, Taiping yang didakwa tidak relevan ekoran tiada bukti sahih dia pernah mendarat di lapangan terbang itu, Nolee Ashilin berkata, pihaknya belum menerima bantahan berhubung hal tersebut.

“Secara rasmi tiada (aduan), hanya di media sosial sahaja. Tetapi daripada persatuan dan sebagainya memang tiada bantahan. Saya sudah mohon MPT untuk semak semula tetapi saya belum dapat maklumat lagi.

“Sekiranya ada percanggahan saya akan minta MPT untuk buat kenyataan perbetulkan perkara itu,” katanya.

Sebelum ini wujud perdebatan dalam kalangan ahli sejarah serta di media sosial mengenai Amelia Earhart sebenarnya tidak mendarat di Tekah.

Malah rakyat Perak turut mempertikaikan penghasilan mural berkenaan memandangkan ia dilihat tidak relevan selain turut terdapat ramai lagi tokoh tempatan yang layak dihasilkan mural mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya