GEORGETOWN: Parti Gerakan menggesa kerajaan melancarkan mekanisme pemberian subsidi bersasar secepat mungkin supaya golongan yang memerlukan bantuan menerima manfaat sepenuhnya.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, langkah itu juga dapat mengurangkan beban kerajaan dalam memberi subsidi ratusan juta ringgit setiap bulan dan membanteras aktiviti penyeludupan barang bersubsidi.
”Mekanisme subsidi bersasar ini telah lama dibincang dan dibangkitkan oleh kerajaan, tetapi masih tidak dapat direalisasikan.
”Kegagalan mekanisme ini merugikan kerajaan dan membebankan negara kerana dasar subsidi yang telah lama digunakan di negara ini menyebabkan pelbagai lapisan rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan ketika ini sedang mencari mekanisme terbaik untuk merangka subsidi bersasar bagi memastikan rakyat yang berhak tidak tercicir atau tertinggal daripada menikmati subsidi itu. – UTUSAN