Sedia berjumpa PM bincang isu pencen bekas tentera

Sedia berjumpa PM bincang isu pencen bekas tentera

SEBAHAGIAN bekas anggota tentera yang hadir dalam perhimpunan aman di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor, hari ini.- UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 100 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu pencen bekas tentera yang  didakwa masih tergantung.

Seorang pesara tentera, Mejar Meor Rosli Meor Mohd. Jaafar berkata, dia sanggup mengumpulkan seberapa ramai bekas tentera untuk berjumpa dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara tersebut serta beberapa perkara lain berkaitan kumpulan berkenaan.

“Saya nak bincangkan mengenai isu penyelarasan pencen dan pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen serta beri keampunan kepada bekas tentera yang pernah membuat kesalahan supaya mereka dapat menerima pencen.

“Perdana Menteri boleh tetapkan tarikh serta lokasi di mana beliau sanggup berjumpa kami dan saya serta bekas tentera lain akan hadir di situ,” katanya ketika ditemui dalam perhimpunan aman bekas tentera di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan sepatutnya mempertimbang pemberian pencen ini kepada bekas tentera yang tidak menerimanya kerana ramai bekas tentera yang hidup susah ketika ini.

Kata Meor Rosli, pengorbanan bekas tentera sepatutnya dihargai kerana sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahan negara semasa dalam perkhidmatan.

“Walaupun kami bekas tentera, kami sanggup mempertahan negara sehingga sekarang sekiranya Malaysia diceroboh mana-mana pihak. Saya berharap kerajaan dapat meluluskan permintaan kami ini, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pesara tentera, Mohd. Faizal Mohd. Rizal, 45, berkata, dia sangat memerlukan pencen untuk kelangsungan hidupnya ketika ini.

Dia yang kini seorang peniaga goreng pisang di Kuala Lumpur berkata, pendapatannya ketika ini hanya cukup-cukup makan  bagi menampung isteri serta tiga orang anaknya.

“Keadaan saya ketika ini amat genting selepas kos perniagaan meningkat disebabkan kenaikan harga tepung serta minyak masak.

“Saya keluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau dapat pencen, mungkin saya sekeluarga boleh lega sedikit,” katanya yang berkhidmat sebagai anggota tentera darat selama 18 tahun. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya