Sebanyak 1,494.74 hektar tanah terbiar

Sebanyak 1,494.74 hektar tanah terbiar

SEBANYAK 1,494.74 hektar tanah di Kelantan masih lagi terbiar dan tidak dibangunkan dengan sebarang aktiviti pertanian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengesahkan sebanyak 1,494.74 hektar tanah di negeri ini masih lagi terbiar dan tidak dibangunkan dengan sebarang aktiviti pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, jumlah tersebut berpandukan kepada rekod geospatial yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kelantan.

TUAN MOHD. SARIPUDIN TUAN ISMAIL

Menurutnya, bagaimanapun sepanjang tahun 2006 hingga tahun ini sebanyak 3,320.09 hektar telah diusahakan dengan pelbagai projek pertanian.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM600,000 setahun kepada Jabatan Pertanian untuk diagihkan ke daerah-daerah sebagai perancangan jangka pendek di bawah Program Tanah Terbiar.

“Saya juga mengajak pemilik tanah untuk berbincang dengan pegawai pertanian daerah bagi membangunkan projek yang mampu memberi manfaat kepada semua dalam membantu meningkatkan pengeluaran sumber makanan negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Mohd. Rodzi Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ke-14 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

ADUN Selising memberitahu, kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh telah memajak tanah seluas 60 hektar kepada Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd 

Katanya, pajakan itu bagi projek pembangunan pertanian, penternakan, perikanan dan agrotourism.

“Setakat ini Kelantan Biotech Corporation telah memulakan usaha berkenaan dengan beberapa projek, antaranya pembangunan Makmal Inovasi Kelulut Darul Naim kedua (MIKDAM 2) selepas yang pertama di Pasir Pekan.

“Pembinaannya sudah hampir siap dan dijangka akan memulakan operasi pada hujung tahun ini,” ujarnya.

Tuan Mohd. Saripudin berkata, pada tahun 2021 terdapat tiga pelaburan diluluskan di tanah seluas 10 ekar untuk projek bersepadu pertanian organik dan kebun nenas di kawasan berkenaan.

Selain itu katanya, terdapat tiga lagi pelaburan telah diluluskan pada 2023 di atas tanah seluas lapan ekar untuk projek pembangunan dedak haiwan, pertanian fertigasi dan penternakan lebah kelulut.

“Projek-projek ini dijangka akan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya. 

“Ruang juga masih ada untuk mereka yang berminat membuat pelaburan mengikut kesesuaian tanah dan perundingan bersama pihak Kelantan Biotech Corporation,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya