KUALA LUMPUR: Seorang saksi pendakwaan berhubung kes melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberitahu Mahkamah Tinggi yang dia telah menerima satu beg besar mengandungi wang tunai berjumlah RM250,000.
Muhammad Naqib Ab. Rahim, 29, merupakan saksi pendakwaan kelapan berkata, dia menerima beberapa ikatan wang tunai RM100 daripada Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali dan diminta menyimpan wang tersebut tanpa diberitahu yang wang itu milik dari akaun rasmi Angkatan Bersatu Anak Muda Malaysia (Armada).
Tanpa bertanya lanjut sumber wang itu, Muhammad Naqib beranggapan ia dari akaun sayap parti kerana wang tunai diberikan oleh Rafiq Hakim atas kuasanya sebagai penolong bendahari, sekali gus merasakan ia adalah wang sah dan mengikuti tatacara pengeluaran sewajarnya.
Katanya, dia tidak terkejut dipilih menyimpan wang tunai berkenaan kerana dia merupakan salah seorang pembekal dan pembuat pakaian kepada Armada.
“Saya tidak mengetahui punca sebenar duit tersebut dan tujuan wang ini diberikan kepada saya untuk disimpan. Saya anggap ia adalah duit pendahuluan bagi pakaian-pakaian yang bakal ditempah kerana pihak Armada dan Bersatu pernah beberapa kali menempah pakaian dan cenderahati dengan saya.
“Saya memindahkan wang daripada beg kertas dan masukkan ke dalam beg hiking berjenama Osprey dan letak di bawah katil bilik kerana tempat tersebut adalah paling selamat di rumah saya.
“Saya tidak menyimpan wang ini di dalam bank kerana Rafiq Hakim hanya menyuruh saya menyimpannya di dalam rumah dan jika Rafiq Hakim minta, saya mesti menyerahkan kepadanya kembali,” katanya semasa memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid.
Muhammad Naqib memberitahu, dia menerima pesanan daripada Rafiq Hakim pada 6 Mei 2022, pukul 12.54 pagi dan meminta menyerahkan RM100,000, sebahagian daripada keseluruhan wang yang disimpan bagi tujuan program Armada, namun tidak dijelaskan secara terperinci tujuannya.
“Saya tidak pernah menggunakan wang tunai RM250,000.00 yang untuk kegunaan sendiri kerana bukan milik dan hasil perniagaan saya. Saya tidak memasukkannya ke dalam akaun bank syarikat dan peribadi kerana tiada tempahan atau pembelian lagi dari pihak Armada dan Bersatu.
“Jika saya memasukkan wang ke dalam akaun peribadi atau akaun syarikat, ini akan bercampur dengan wang saya sendiri dan ia adalah salah dari segi etika dan amanah,” katanya.
Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. – UTUSAN