KUALA LUMPUR: Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob menafikan dakwaan kononnya dia menjadi punca seorang pengguna Twitter dibuang kerja gara-gara satu ciapan di laman media sosial itu.
Menurut Fazley, dakwaan itu tidak tepat kerana pekerja tersebut tidak diberhentikan, sebaliknya dia cuma meminta majikan individu tersebut untuk menasihatkan pekerja terbabit secara baik.
“Tak berlaku pun pembuangan pekerja itu sebab semasa dihubungi oleh majikan pekerja terbabit, saya ada minta untuk majikan itu menasihati individu tersebut.
“Saya mohon supaya dia tak dibuang. Saya pun dah maafkan dia pada hari kejadian itu lagi,”katanya.
Fazley berkata demikian semasa ditemui di pelancaran menu baharu The Manhattan Fish Market di ibu kota, hari ini.
Menjelaskan situasi, kata Fazley, semasa kejadian dia telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan mengenai tindakan seorang pengguna Twitter yang mengecam dirinya di media sosial termasuk mengkritik baju yang dipakainya kelihatan buruk.
“Dia tidak tahu saya ialah jurulatih usahawan di program tersebut. Saya pakai baju daripada seorang pereka fesyen dan setahu saya baju itu memang tak ada sebarang masalah.
“Saya dapat tahu dia adalah sebahagian daripada penganjur. Saya sebenarnya risau kalau dia mewakili penganjur dan dia buat perkara begitu semasa sedang bekerja. Itu tidak patut kerana dia membawa nama syarikatnya bersama.
“Semasa berucap di pentas program. Saya pun ada sebut nama anak muda itu dan anggap dia cuma nak buat promosi. Saya ingat dah habis kat situ, tapi rupanya pada malam itu majikannya ada hubungi saya dua kali,”katanya.
Kata Fazley, anak muda itu juga telah meminta maaf kepadanya atas kekhilafan yang terjadi.
“Saya pun dah nasihatkan dia supaya berhati-hati dalam setiap tingkah laku apatah lagi jika dia membawa nama baik syarikatnya ketika bekerja.
“Saya pun ada sebut pada majikannya nak belanja dia dan semua kakitangan lain untuk makan di kedai saya nanti. Mana tahu, hati dia akan berubah,”katanya.