KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempercayai dan bersangka baik terhadap bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly untuk menguruskan kewangan peribadinya.
Ini kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak ada masa untuk menguruskannya sendiri kerana sibuk menguruskan hal ehwal negara.
Ini termasuk menelefon bank bagi mendapatkan penyata akaun enam kad kredit miliknya selepas Mazlina tidak menunjukkan kepadanya penyata-penyata tersebut walaupun telah diminta beberapa kali.
Terdahulu pada prosiding perbicaraan sebelah pagi, Ahmad Zahid sambil merujuk kepada penyata-penyata akaun kad kreditnya memberitahu kad-kad kredit itu telah digunakan untuk pembayaran (tidak dinyatakan secara spesifik) di dalam dan luar negara seperti, Itali, Taiwan, Korea Selatan, Jakarta dan Amerika Syarikat.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Ahmad Zahid memberitahu, kad-kad kredit tersebut digunakan semasa lawatan rasmi ke luar negara di antara tahun 2013 dan 2016.
Raja Rozela: Datuk Seri ambil berat mengenai pembayaran kad kredit itu?
Ahmad Zahid: Benar.
Raja Rozela: Jika pun benar, Datuk Seri ada minta tapi tidak ditunjukkan ?
Ahmad Zahid: Setiap kali minta dia kata ada tapi tak pernah tunjukkan.
Raja Rozela: Tidakkah Datuk Seri ingin tahu berapa berhutang dengan bank?
Ahmad Zahid: Setiap pembayaran dan pembelian ada resit jadi saya tahu jumlahnya. Arahan saya adalah pembayaran itu guna akaun peribadi saya.
Raja Rozela: Datuk Seri ada pegawai lain dan boleh meminta bantuan mereka (mendapatkan dan menunjukkan penyata kad kredit)?
Ahmad Zahid: Boleh kalau saya minta, tetapi saya tidak pernah mengarahkan orang lain untuk membantu.
Raja Rozela: Datuk Seri cakap berpusing-pusing.
Ahmad Zahid: Yang Arif, saya cakap yang benar.
Pada prosiding sebelum ini, Ahmad Zahid mempertikaikan kenapa beliau yang didakwa di mahkamah sedangkan Mazlina yang cuai ketika membuat pembayaran kad-kad kreditnya dengan menggunakan wang yayasan.
Ahmad Zahid dalam keterangannya pada prosiding terdahulu memberitahu: “Baki setiap bulan dalam akaun peribadi saya lebih daripada mencukupi untuk membayar kad-kad kredit peribadi saya.”
Mazlina yang juga saksi pendakwaan ke-90 dalam keterangannya sebelum ini menyatakan Ahmad Zahid memberikan kebenaran terhadapnya untuk menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kreditnya.
Ahmad Zahid kini sedang dibicarakan berhubung penyelewengan dana Yayasan Akalbudi membabitkan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.- UTUSAN