KAJANG: Tuntutan saman seorang usahawan terhadap Mawar Abdul Karim supaya ahli perniagaan itu membayar semula pinjaman persahabatan berjumlah RM720,000, akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini.
Nabil Mat Jahya menyaman usahawan wanita itu yang turut dikenali sebagai Mawar Karim, 33, bagi menuntut wang tersebut yang telah dipinjamkan kepadanya selaras dengan perjanjian persahabatan yang dipersetujui dan ditandatangani oleh mereka.
Perkara tersebut ditentukan selepas Hakim Effandi Nazila Abdullah membenarkan permohonan Mawar untuk mengetepikan penghakiman ingkar kehadiran yang direkodkan terhadap beliau sebelum ini.
Peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili Mawar memberitahu wakil media, lanjutan keputusan itu, anak guamnya akan meneruskan tindakan dengan memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap pihak yang dinamakan dalam kes ini dalam tempoh 14 hari.
Ujar beliau, dengan keputusan itu, penghakiman ingkar tersebut tidak boleh dilaksanakan terhadap Mawar kerana perintah tersebut tidak lagi berkuat kuasa.
Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, peguam Nik Zarith Nik Moustpha mewakili plaintif iaitu Nabil Mat Jahya manakala Mohd. Nor Tamrin hadir mewakili Mawar.
Pada 11 Januari lalu, Nabil selaku plaintif diberi kebenaran oleh mahkamah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Mawar, selepas beliau gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkannya.
Sementara itu, Mawar dalam afidavit sokongan untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu berkata, beliau tidak pernah sama sekali menerima salinan termeterai penghakiman ingkar itu daripada plaintif atau peguamnya, pada setiap masa yang material sehingga notis pelantikan peguam bertarikh 14 April lalu difailkan oleh peguamnya.
Dalam saman difailkan pada Disember 2021, Nabil mendakwa dalam perjanjian itu defendan antaranya perlu membayar semula RM100,000 sebelum atau pada setiap 1 haribulan selama enam bulan berturut-turut bermula 1 Jun 2021.
Perjanjian itu turut menyatakan, bagi bulan terakhir iaitu bulan ketujuh, Mawar perlu membayar RM120,000 sebagai bayaran terakhir terhadap pinjaman wang tersebut.
Bagaimanapun Nabil menyatakan, sehingga ke tarikh pemfailan writ dan pernyataan tuntutan, defendan gagal membayar balik keseluruhan pinjaman itu seperti yang termaktub di dalam perjanjian walaupun beberapa kali dituntut berbuat demikian. –UTUSAN ONLINE