Rumah terbakar menjelang Hari Raya Aidiladha

Rumah terbakar menjelang Hari Raya Aidiladha

MOHD. Saifulnizam Yahya menunjukkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kerinting, Gua Musang, Kelantan, semalam. - AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kemeriahan Aidiladha yang bakal disambut esok bertukar duka buat enam sekeluarga di Kampung Kerinting di sini apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran petang semalam.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 3.10 petang itu menyebabkan Mohd. Saifulnizam Yahya, 44, dan keluarga tinggal sehelai sepinggang selain mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM150,000.

Mohd. Saifulnizam berkata, kejadian tersebut diketahuinya selepas menerima panggilan daripada isteri yang memaklumkan perkara berkenaan.

“Sejurus tiba, luluh hati saya apabila melihat rumah pemberian keluarga mentua dan persiapan hari raya musnah sepenuhnya.

“Saya terima ujian ini dengan hati terbuka walaupun segala persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha musnah dalam kebakaran itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Saifulnizam memberitahu, dia bersyukur kerana isteri, dan empat anak termasuk seorang bayi berusia setahun empat bulan selamat dalam kejadian itu.

Katanya, selain rumah, kereta Proton Persona miliknya turut terbakar dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan  itu pada pukul 3.21 petang dan berjaya mengawal kebakaran 24 minit kemudian.

Katanya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku serta punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Mohd. Saifulnizam di talian 013-9193797 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank bernombor 6888682623. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya