KUANTAN: Kerajaan Pusat melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan kira-kira RM60 juta peruntukan menaik taraf hampir keseluruhan fasiliti sukan di negeri ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, peruntukan itu bagi kerja-kerja penyelenggaraan pusat yang sedia ada dan pembinaan semula sebuah kompleks sukan.
“KBS memberi kelulusan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membina semula Kompleks Belia dan Sukan Pahang di Kuantan. Pembinaan semula kompleks sukan itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dengan jangkaan siap sepenuhnya 15 Ogos tahun depan.
“Kompleks ini akan menjadi antara pusat sukan yang canggih dilengkapi fasiliti seperti asrama, padang bola, padang futsal, gimnasium, sukan lasak, bilik mesyuarat dan banyak lagi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, sebagai permulaan dalam kerja-kerja naik taraf, kerajaan menyalurkan peruntukan RM500,000 untuk membaik pulih Stadium Hoki di Wisma Belia, dekat Indera Mahkota.
Jelasnya, peruntukan awal itu hasil permohonan pihak berkuasa tempatan terdahulu dan ia telah mendapat kelulusan, dua bulan lalu.
“Secara keseluruhannya kerajaan negeri membuat permohonan RM4.48 juta bagi kerja-kerja menaik taraf stadium berkenaan lebih-lebih lagi untuk berdepan beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa yang telah direncanakan Persatuan Hoki Kebangsaan,” katanya. – UTUSAN