KEMAMAN: Tindakan seorang lelaki yang cuba merasuah seorang anggota polis membawa padah apabila dia diberkas polis, dalam kejadian di Kampung Air Putih, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 41 tahun berasal dari Pekan, Pahang itu cuba memberi suapan sebanyak RM200 kepada anggota polis Balai Air Putih yang melakukan pemeriksaan terhadap dirinya, kira-kira pukul 4.10 petang.
“Pada awalnya, anggota polis yang berpangkat Lans Koperal itu bersama seorang lagi anggota lain telah menahan lelaki yang sedang duduk atas sebuah motosikal Honda Dash 125 selepas melihat dia berada dalam keadaan mencurigakan.
“Lelaki itu gagal mengemukakan lesen dan cukai jalan dan selepas meminta butir pengenalan diri serta membuat semakan, lelaki itu didapati mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hanyan berkata, anggota polis tersebut memberitahu ingin membawanya menjalani ujian saringan air kencing, namun lelaki tersebut kemudiannya menghulurkan sejumlah wang tunai kepada anggota polis tersebut sambil memberitahu ‘cik, settlelah’.
“Lelaki tersebut telah diberi amaran sebanyak tiga kali atas kesalahan cubaan memberi rasuah, namun tidak diendahkannya. Tangkapan dilakukan atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam dan selepas dibuat pemeriksaan, didapati wang tersebut berjumlah RM200,” katanya. – UTUSAN