RM2.1 juta diperuntuk untuk Tuisyen Percuma YPM

RM2.1 juta untuk Tuisyen Percuma YPM

MAS Rizal Mohd. Hilmi (empat dari kanan) menyaksikan acara penyerahan replika cek pada Majlis Pelancaran Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 Peringkat Kebangsaan di MRSM Kubang Pasu, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sebanyak RM2.1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tuisyen percuma kepada pelajar kurang berkemampuan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebanyak 6,000 pelajar dijangka menerima manfaat daripada program yang dikendalikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan kerjasama Majlis Rendah Sains Mara (MRSM) dan Jabatan Pendidikan negeri.

“Pada 2021, walaupun negara giat bertarung dengan pandemik yang melanda tetapi YPM berjaya melaksanakan Tuisyen Pintar YPM @KPLB di 54 pusat secara dalam talian yang melibatkan seramai 5,400 pelajar SPM dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.89 juta.

 “Bagi tahun ini, YPM menyasarkan sebanyak 60 pusat tuisyen dengan penglibatan seramai 6,000 pelajar SPM di seluruh negara melibatkan peruntukan RM2.1 juta. Usaha murni ini juga mendapat perhatian daripada syarikat-syarikat korporat yang mengiktiraf Tuisyen Pintar YPM @KPLB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 Peringkat Kebangsaan di MRSM Kubang Pasu di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha KPLB (Pembangunan), Mas Rizal Mohd. Hilmi.

Tambah Mahdzir, program itu memberikan kemudahan kelas bimbingan tambahan yang diberikan secara percuma di luar waktu pembelajaran rasmi oleh guru-guru pakar kepada calon SPM daripada keluarga B40 khususnya di luar bandar.

“Objektifnya adalah untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran teras dan pencapaian akademik sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan yang tinggi. Berkonsepkan kelas tuisyen secara berpusat, ia dilaksanakan di MRSM atau sekolah-sekolah terpilih sebagai tuan rumah dengan setiap pusat tersebut akan disertai oleh 100 pelajar,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN