Risau masa depan anak tiada dokumen pengenalan diri

Risau masa depan anak tiada dokumen pengenalan diri

ENGKU Faridah Engku Man (tengah) bersama Dewi Healen Fiona Syarina Rusman (kiri) dan Putri Balqis Sabrina Syakila (kanan) di rumah mereka di Kampung Tapah, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang ibu risau dengan masa depan dua anak perempuannya yang dilahirkan di Lombok, Indonesia kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selepas pulang ke Malaysia sejak 2010.

Berikutan itu, dua anak Engku Faridah Engku Man, 45, iaitu Putri Balqis Sabrina Syakila Rusman, 17, dan Dewi Healan Fiona Syarina, 14, tidak dapat bersekolah dan hanya belajar di sebuah madrasah di sini selama dua tahun sebelum ini.

Engku Faridah yang tinggal di Kampung Tapah, di sini, berkata, kekangan kewangan menyukarkannya ke Lombok untuk urusan dokumentasi dua anaknya itu.

Katanya, penderitaan hidup dilalui setelah bercerai dan konflik keluarga dihadapi ketika berada di Lombok menyebabkan dia bertekad pulang ke tanah air pada 2010 tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri anak-anaknya.

Menurutnya, surat kelahiran kedua-dua anaknya lengkap mengikut prosedur di negara jiran itu dan sewaktu pulang ke Malaysia, anak-anaknya baru berusia dua dan empat tahun.

“Setelah berkahwin kali kedua dengan lelaki berasal dari Lombok, saya tinggal di sana selama lapan tahun manakala bekas suami ketika itu bekerja di Malaysia.

“Keadaan diri ketika itu terkontang-kanting sendirian di tempat orang serta kesusahan hidup sehingga terpaksa makan nasi berlauk garam menyebabkan saya tekad pulang kampung halaman.

“Sebelum ini saya ada meminta tolong serta merayu kepada bekas suami agar menghantar dokumen kelahiran anak-anak saya di Lombok tetapi langsung tidak diendahkan sehinggalah sampai hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapah di sini, semalam.

Engku Faridah berkata, dia memang berhasrat ke Lombok untuk mendapatkan semula dokumen kelahiran kedua-dua anaknya itu namun terbatas berikutan kekangan kewangan dihadapinya.

Menurutnya, dia mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan pertama yang kini berusia 20 hingga 25 tahun serta miliki dua lagi anak hasil perkahwinan ketiganya kini berumur 8 dan 11 tahun.

“Suami ketiga saya, Tuan Mohd Tuan Abd Samad, 55, hanya bekerja membawa bot pelancong di Tasik Kenyir dan saya pula menjual kuih-muih secara kecil-kecilan.

“Hasil pendapatan diperoleh tidak mungkin mampu tanggung kos untuk saya ke Lombok dapatkan dokumen.

“Saya harap ada pihak sudi bantu dapatkan kembali dokumen kelahiran mereka ini di Lombok,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN