JOHOR BAHRU: Perintah tahanan reman terhadap suspek pembunuhan seorang ibu dan bayinya di Kampung Bakar Batu, di sini pada 4 Julai lalu, disambung tujuh hari lagi.
Perintah sambungan reman hingga 18 Julai ini terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Suhaila Shafi’uddin di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.15 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren dan berkaki ayam.
Ketika dibawa turun dari lori polis, suspek kelihatan tenang dan hanya menurut arahan diberikan pegawai polis yang mengiringinya.
Suspek ditahan polis pukul 2.45 petang, 4 Julai lalu selepas disyaki mengelar Hajar Nursyahirin dan bayi lelakinya, Hans Mohd. Thakif di kediaman mereka di Kampung Bakar Batu, kira-kira pukul 12 tengah hari pada hari yang sama.
Tertuduh ditahan di Permas Jaya selepas melarikan diri dalam keadaan berbogel dengan menunggang motosikal. – UTUSAN