Rayuan akhir Najib kekal 15 Ogos

Rayuan akhir Najib kekal 15 Ogos

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhirnya berhubung sabitan salah serta hukuman penjara dan denda berkait dengan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd..

Berdasarkan surat oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang dilihat media hari ini, mahkamah turut menyarankan agar pihak-pihak yang terlibat mengambil langkah sewajarnya dan bersedia untuk pendengaran rayuan itu.

“Mahkamah ingin menegaskan tiada penangguhan akan dibenarkan dan pihak-pihak dikehendaki mengambil langkah sewajarnya serta bersedia bagi pendengaran rayuan-rayuan tersebut. 

“Pihak-pihak juga dikehendaki mematuhi arahan-arahan yang telah diberikan pada tarikh-tarikh pengurusan kes yang lalu,” ujar surat tersebut.

Sehubungan itu, pendengaran rayuan yang bermula 15 Ogos ini akan berjalan seperti yang dijadualkan.

Bagaimanapun, menurut, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul, barisan peguam baharu yang mewakili Ahli Parlimen Pekan itu cuba untuk membuat satu lagi permohonan penangguhan pendengaran rayuan itu pada hari pertama pendengaran rayuan itu.

Pada 15 Ogos itu juga, barisan peguam bela baru Najib akan memohon penangguhan bagi permohonan untuk memasukkan bukti baharu berkaitan hakim bicara kes tersebut, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan.

Mohd. Ashrof memaklumkan demikian ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yussof dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa.

Hadir pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu ialah peguam Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam mewakili Najib manakala selain Mohd. Ashrof, Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram turut hadir bagi pihak pendakwaan.

Peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Rahmat Hadzlan yang sebelum ini mewakili Najib turut hadir pada prosiding hari ini untuk perkara-perkara berkaitan penyerahan dokumen daripada firma guaman, Tetuan Shafee & Co. kepada firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

Pada 25 Julai lalu, Najib melalui sepucuk surat telah menamatkan perkhidmatan firma guaman, Tetuan Shafee & Co, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan seluruh pasukan pembelaannya sebelum melantik ZIST.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh firma guaman Shafee & Co kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan keesokan harinya.

Pada 26 Julai, ZIST dalam sepucuk surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan sekaligus mengesahkan firma guaman tersebut telah dilantik oleh Najib untuk mewakilinya pada pendengaran rayuan akhir tersebut.

Hisyam yang dilantik sebagai peguam bela utama Najib juga peguam bela kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada prosiding tersebut, Hisyam memaklumkan pihak pembelaan telah memfailkan dua afidavit tambahan berkaitan dengan permohonan untuk memasukkan bukti baharu. 

Tambahnya, pihak pembelaan akan memfailkan satu lagi afidavit bagi berhubung perkara sama.

Hisyam turut mengesahkan pihak pembelaan tidak akan memfailkan sebarang rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan khidmat peguam paling kanan dari United Kingdom, Queen’s Counsel, Jonathan Laidlaw.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos iaitu pada 15 hingga 25 Ogos ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya