SHAH ALAM: Hanya kerana RM5,000, seorang pengarah sebuah agensi kerajaan berusia 56 tahun berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda akibat menerima rasuah.
Tertuduh, Khusairi Husain walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Muhamad Anas Mahadzir.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menerima suapan barang berharga iaitu wang tunai pada jumlah tersebut dekat Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar pada 24 November lalu.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (KLIM) Selangor itu dikatakan menerima suapan daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang diketahui tertuduh mempunyai kaitan dengan tugas rasmi.
Wang tersebut didakwa diterima sebagai balasan melantik pembekal melaksanakan kerja-kerja membekal benih, baja dan racun berjumlah RM59,794.
Khusairi dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras kemudian menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Pihak pendakwaan memohon jaminan dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat pada hari pertama setiap bulan,” katanya.
Peguam, Noor Adzrie Mohd. Noor yang mewakili Khusairi memohon jumlah jaminan dikurangkan berdasarkan tanggungan tertuduh.
“Saya memohon jaminan yang munasabah memandangkan tertuduh merupakan satu-satunya yang menanggung empat orang anak dan tiga daripadanya masih belajar. Selain itu, tertuduh juga tiada sebarang bantahan dan memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.
“Jaminan RM10,000 juga adalah terlalu tinggi tidak berpadanan dengan jumlah rasuah diambilnya. Saya mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000,” balasnya.
Hakim Muhamad Anas kemudian membenarkan Khusairi diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta mematuhi syarat tambahan termasuk melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap minggu pertama.
Beliau kemudian menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula. – UTUSAN