PETALING JAYA: Tiada cubaan melindungi bagi mana-mana pihak terlibat dalam penyelewengan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya).
Perkara itu ditegaskan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang memaklumkan, kes berkenaan dilaporkan sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Justeru, beliau berkata siasatan kes penyelewengan dan tuntutan palsu itu tidak membabitkan campur tangan politik.
“Sekiranya saya nak mempertahan mana-mana individu tidak kira orang politik atau tidak, kita tidak akan laporkan kepada SPRM. Kita sukarela buat laporan tanpa mengira ideologi politik syarikat terbabit,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.
Saravanan berkata demikian menjawab pertanyaan ahli-ahli Parlimen pembangkang berhubung isu penyelewengan dana PenjanaKerjaya yang disiasat SPRM.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia telah menggunakan siasatan forensik secara dalaman dan mengenal pasti daripada 45,000 syarikat terlibat program PenjanaKerjaya kerana bukan mudah mengenal pasti semua syarikat yang memohon program itu.
“Dalam 45,000 ada juga yang terlepas pandang satu atau dua syarikat. Tetapi kita yang mengenal pasti. Kita yang mencari betul-betul sehingga kita dapat dan membuat keputusan untuk membuat laporan kepada SPRM,” ujarnya.
Sebelum ini, seramai 37 individu yang dipercayai menggunakan platform Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu sehingga RM100 juta.
Sumber SPRM berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera-jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat berstatus sendirian berhad.
Katanya, SPRM turut membekukan akaun bernilai RM7.3 juta milik syarikat berkenaan. – UTUSAN