Rafizi gesa mansuh penetapan B40, M40, T20 - Utusan Malaysia

Rafizi gesa mansuh penetapan B40, M40, T20

RAFIZI Ramli mencadangkan supaya tiada kelompok masyarakat B40, M40 dan T20 di negara ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli menggesa kerajaan memansuhkan pendekatan menggunakan had pendapatan B40, M40 dan T20 dalam usaha ke arah pendekatan subsidi bersasar.

Beliau berkata, ini kerana walaupun pendekatan subsidi bersasar secara konsepnya dilihat lebih masuk akal sekiranya diuruskan dengan baik, ia juga mendatangkan risiko keciciran dan ketirisan.

“Kayu ukur yang dipakai sekarang ialah mengikut klasifikasi pendapatan isi rumah, iaitu B40 (40 peratus keluarga yang pendapatan isi rumahnya terbawah), M40 (40 peratus keluarga yang pendapatan isi rumahnya berada selepas B40), dan T20 (20 peratus keluarga yang pendapatan isi rumahnya teratas).

“Walaupun kaedah menentukan penerima subsidi dan bantuan kebajikan berdasarkan klasifikasi B40, M40 dan T20 ini ringkas dan membolehkan pelaksanaan dengan cepat, ia mempunyai beberapa kelemahan utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd. Rafizi, kelemahan pertamanya adalah kerana ia berasaskan kepada pendapatan semata-mata dan tidak mengambil kira faktor perbelanjaan sara hidup dalam menentukan kedudukan ekonomi sesebuah isi rumah.

“Misalnya, sebuah isi rumah yang mempunyai dua penerima pendapatan (suami dan isteri) yang dikategorikan sebagai B40 (setiap orang berpendapatan RM2,000) dan mempunyai seorang anak, tinggal di kawasan separa bandar, sudah tentu mempunyai pendapatan boleh belanja (disposable income) yang lebih tinggi berbanding satu lagi isi rumah yang mempunyai seorang penerima pendapatan (suami) yang dikategorikan sebagai M40 (pendapatan RM4,860), mempunyai lima orang anak dan tinggal di kawasan bandar besar,” ujarnya.

Selain itu, katanya, had pendapatan yang ditentukan secara statistik semata-mata iaitu mengikut bilangan isi rumah 40 peratus terbawah, 40 peratus pertengahan dan 20 peratus teratas tidak menterjemahkan situasi sebenar kesukaran ekonomi setiap keluarga.

Malah, katanya, ia memanjangkan lagi ketidakadilan agihan pendapatan yang berlaku akibat kegagalan kerajaan memastikan agihan gaji yang adil kepada pekerja-pekerja bawahan kepada sistem kebajikan negara.

“Contohnya, hanya kerana had atas (upper cut-off point) B40 adalah RM4,850 sebulan, semua keluarga yang berpendapatan RM4,851 ke atas dikategorikan sebagai tidak layak untuk menerima subsidi sedangkan kepayahan yang dialami sama dengan keluarga berpendapatan RM4,850 sebulan.

“Begitu juga dengan ‘cut off point’ yang lain, iaitu had M40 pada RM10,959. Bagi keluarga yang berpendapatan RM11,000 sebulan, tiba-tiba mereka dikira sebagai orang kaya (yang datang dengan konotasi merekalah yang mengambil subsidi dari orang yang layak menerima) sedangkan kedudukan ekonomi mereka sama dengan mereka yang berpendapatan RM10,959 sebulan,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan supaya Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil lebih awal untuk menerangkan sama ada pendekatan yang sama menggunakan B40, M40 dan T20 akan diguna pakai dalam menentukan kumpulan penerima sasaran apabila subsidi bersasar dilaksanakan kelak.

“Keputusan untuk menetapkan kriteria kelayakan penerimaan subsidi (petrol bersubsidi, bantuan tunai, subsidi makanan dan lain-lain) adalah keputusan nasional yang perlu dibahaskan dan dikupas supaya diterima rakyat keseluruhan, bukannya keputusan beberapa pegawai di dalam bilik mesyuarat.

“Saya berpandangan kita perlu memansuhkan pendekatan menggunakan had pendapatan B40, M40 dan T20, sebaliknya memperkenalkan pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja (disposable income) dengan mengambil kira pendapatan, kos perbelanjaan dan jumlah tanggungan setiap isi rumah.

“Saya akan menghuraikan cadangan ini dengan lebih terperinci dalam kenyataan-kenyataan media yang akan datang,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya