ALOR SETAR: Pulau Perak di Yan diisytiharkan sebagai titik rujukan paling barat Malaysia bagi hitungan kalendar Islam menggantikan Tanjung Chinchin di Langkawi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pengisytiharan lokasi tersebut dibuat menerusi kajian dilakukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) yang turut membuat penjanaan data.
Katanya, Panel Pakar Falak Malaysia yang bermesyuarat pada 12 Mac 2020 memutuskan titik rujukan paling barat Malaysia di Pulau Perak akan digunakan berkuatkuasa 1 Muharram 1444 Hijrah dalam menjana takwim hijri di negara ini.
“Keputusan itu kemudiannya diangkat kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-118 yang bersidang Februari 2021 dan muzakarah bersetuju mengenai perubahan titik rujukan tersebut dalam penyediaan takwim hijri bermula 2022 atau 1444 hijrah.
“Pengisytiharan lokasi tersebut kemudiannya dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian berkenaan di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin turut berkenan mencemar duli bagi merasmikan majlis tersebut di Wisma Darul Aman dengan turut diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad serta mufti beberapa negeri termasuk Kedah, Sabah dan Melaka.
Signifikan perubahan titik rujukan paling barat di Malaysia itu dibuat kerana lokasi Pulau Perak didapati berada di kedudukan paling barat dengan koordinat latitud 5° 41′ 05″ Utara dan longitud 98° 56′ 14″ Timur berbanding titik rujukan Tanjung Chinchin yang berada di koordinat latitud 6° 26′ 10″ Utara, longitud 99° 38′ 30″ Timur.
Titik rujukan paling timur pula kekal terletak di Tanjung Atiam, Lahad Datu, Sabah.
Idris berkata, pemilihan Pulau Perak itu melakar sejarah panduan penyediaan kalendar Islam lebih menyeluruh meliputi penempatan penduduk negara ini dari titik timur Malaysia hingga titik paling barat. – UTUSAN