MELAKA: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah memecah masuk sebuah premis dan mencederakan seorang wanita warga emas.
Majistret Mazana Sinin menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, N. Nagaraj, 37, yang membuat pengakuan tersebut sejurus selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan pecah rumah dan melarikan peti duit serta dua unit telefon bimbit antara pukul 12.07 sehingga 12.55 tengah malam di sebuah syarikat motosikal di Ayer Keroh di sini, 12 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati mencederakan seorang wanita warga emas, Rose Tan, 89, kira-kira pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Kampung Lapan di sini, pada 4 Oktober 2014.
Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 383 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Terdahulu, Peguam Muhammad Izzudin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan atas alasan tertuduh perlu menanggung keluarga termasuk dua orang anak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ehsan Nasruddin memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran, selain kesalahan dilakukan adalah serius.
Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara enam tahun bermula dari tarikh ditangkap iaitu 12 Julai lalu. – UTUSAN