PRU-15: PN mahu selesai segera agih kerusi - Utusan Malaysia

PRU-15: PN mahu selesai segera agih kerusi

MUHYIDDIN Yassin (tengah) bersama Abdul Hadi Awang pada majlis pelancaran PN Peringkat Negeri Terengganu di Rusila, Marang malam semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Perikatan Nasional (PN) akan menyelesaikan segera pengagihan kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan parti-parti dalam gabungan tersebut sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN akan bertanding hampir kesemua kerusi dan sebahagian kerusi tersebut akan dilakukan agihan melibatkan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Menurutnya, pengagihan kerusi tersebut tidak akan menghadapi masalah kerana dilakukan secara bertolak ansur dan diterima semua parti terlibat.

“Mesyuarat PN yang baru lalu, (Timbalan Pengerusi PN) Tan Sri Tok Guru (Abdul Hadi Awang) hadir bersama dengan saya. Kita dapat keputusan. Lepas ini, kita tak nak lengah-lengah, nak duduk berunding selesaikan pembahagian kerusi seluruh negara.

“Hak ini (kerusi) Pas punya, hak ini Bersatu punya, hak ini Gerakan punya, hak ini SAPP punya, hak ini STAR punya, bereskan seberapa cepat yang mungkin.

“(Selepas itu) saya sudah mula dapat memberikan tumpuan kepada setiap kerusi-kerusi yang kita tandingi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran PN Peringkat Negeri Terengganu di Rusila, di sini malam semalam.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN meletakkan sasaran mempertahankan kemenangan di Terengganu, Kelantan dan Kedah pada PRU-15.

Pada masa sama beliau menambah, PN mahu memenangi beberapa negeri dan kerusi Parlimen lain untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Terengganu menang, Kelantan menang, Kedah menang, yang sudah menang, kekal menang. Tetapi yang juga penting untuk menyelamatkan negara, bukan untuk negeri Terengganu, Kedah dan Kelantan sahaja,” jelasnya.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, beliau menaruh keyakinan PN akan memenangi kesemua kerusi DUN dan Parlimen pada PRU-15 ini.

Menurutnya, kemenangan besar itu mampu dicapai memandangkan rakyat di Terengganu berpuas hati dengan kerajaan negeri yang diterajui Pas termasuk menunaikan kesemua manifesto pada pilihan raya umum sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, rakyat di negara ini perlu memberi mandat kepada PN pada PRU-15 untuk membina sebuah negara yang kukuh dan stabil.

Menurutnya, PN telah menunjukkan bukti dapat memerintah negara dengan cekap ketika berdepan krisis ekonomi berikutan penularan Covid-19 di seluruh dunia.

“PN telah menunjukkan bukti dalam masa pemerintah berjaya memimpin negara dengan melaksanakan banyak perkara walaupun dalam keadaan kerajaan yang tak kuat. Pilihan raya pun sudah dekat, kita minta rakyat memberi mandat perikatan untuk membina satu kerajaan yang kukuh dan kuat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya