KUANTAN: Sebuah projek pembangunan perumahan, pelancongan dan pusat komersial dengan pembangunan kasar dijangka melebihi RM9 bilion bakal dibina di Genting Permai, Genting Highlands di Bentong dekat sini.
Projek tersebut merangkumi pangsapuri servis, rumah teres dua tingkat, rumah bandar, banglo dan institusi pendidikan serta kemudahan awam.
Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi projek itu berlangsung antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Casa Inspirasi Sdn. Bhd. di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam majlis yang sama, Casa Inspirasi Sdn. Bhd. turut menyerahkan replika cek bernilai RM4.89 juta kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang sebagai bayaran komitmen syarikat kepada kerajaan negeri.
“Semoga dengan perjanjian ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat buat negeri dan rakyat Pahang.
“Saya optimis bahawa kerajaan negeri mampu menarik pelaburan berjumlah RM18 bilion pada tahun ini, seperti mana yang disasarkan.
“Pada tahun lalu, negeri Pahang berjaya menarik masuk pelaburan bernilai RM10.5 bilion, sehingga membolehkan kita berada di kedudukan ketiga negeri terbaik di Malaysia berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN