SHAH ALAM: Dalam usaha memastikan umat Islam khususnya di Selangor tidak was-was tentang status halal semasa membeli ayam mahupun daging ternakan ruminan, Persatuan Penyembelih Ternakan Halal Malaysia (PPTHM) ditubuhkan di negeri ini, baru-baru ini.
Menurut Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Suhaimi Hashim, isu penyembelihan haiwan ternakan seperti daging lembu meragukan daripada luar negara yang dilaporkan Utusan Malaysia baru-baru ini mendorong pihaknya menubuhkan PPTHM di negeri ini.
“Kita baru menubuhkan PPTHM Selangor 25 Jun lalu dan mesyuarat telah dihadiri pengasas PPTHM, Dr. Azhar Bahaudin dan pada masa sama kita melantik enam ahli jawatankuasa dan Bendahari. Pengerusi PPTHM adalah bekas Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) (Operasi), Basori Omar.
“Buat masa ini ahli kita seramai 40 orang dalam kalangan penternak, pekerja pusat penyembelihan, bekas kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).Kita mewujudkan PPTHM bagi memastikan integriti dalam proses penyembelihan sama ada di pasar dan pusat penyembelihan terpelihara,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Suhaimi berkata, Selangor sebagai negeri termaju sewajarnya mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memantau kegiatan penyembelihan agar umat Islam tidak makan sumber makanan yang tidak halal.
Mengulas lanjut beliau berkata, PPTHM nasional yang ditubuhkan pada tahun 2013 dan dipengerusikan oleh Mustafa Kamal Abu Bakar memberi fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa yang paling utama.
“Justeru kita di Selangor akan bekerjasama rapat dengan Bahagian Halal JAIS untuk membuat pemantauan di pusat penyembelihan mahupun pasar basah bagi memastikan aktiviti penyembelihan dilakukan selaras tuntutan agama Islam,”katanya.
Katanya lagi, kursus penyembelihan sama ada untuk amalan rutin dan untuk korban akan diadakan dari masa ke semasa. – UTUSAN