SEPANG: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menyangkal dakwaan sebuah video tular kononnya anggotanya tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh kerana memandu lori tanpa lesen memandu..
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi berkata, dakwaan itu tidak benar sebaliknya satu saman sudah dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan.
Beliau berkata, nombor siri saman dikeluarkan adalah Pol 257 AG875372 iaitu kesalahan tiada lesen memandu.
“Lori berkenaan ditahan ketika satu operasi Op Motosikal Perintah Gerakan 33/22 di Jalan Taman Mas pukul 12.40 tengah hari, Selasa lalu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya kemudian menerima satu video di aplikasi WhatsApp pagi ini yang dirakam seorang pemilik media sosial.
“Dalam video berdurasi selama 1 minit 27 saat itu, pemilik video itu melemparkan satu tohmahan kepada polis kononnya tidak mengambil tindakan lori dengan nombor pendaftaran terlibat.
“Siasatan mendapati cukai jalan lori berkenaan masih sah. Bagaimanapun, kami akan mengambil tindakan terhadap syarikat lori berkenaan kerana membenarkan lori dipandu warga asing tanpa lesen memandu sah,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan pemandu lori kononnya anggota polis meminta rasuah RM300 seperti dipaparkan dalam video itu, Wan Kamarul Azran berkata, anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah akan menyiasat lanjut dakwaan itu. – UTUSAN