Petunjuk baharu kes Abdul Azeez diteliti SPRM

Petunjuk baharu kes Abdul Azeez diteliti SPRM

ABDUL Azeez Abdul Rahim hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mendengar keputusan rayuan akhirnya untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti petunjuk baharu berhubung pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez memaklumkan, petunjuk baharu itu terkandung dalam representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pertimbangan pertuduhan.

Sehubungan itu, Amer Hamzah memohon mahkamah menangguhkan keputusan rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan 13 pertuduhan dihadapinya, sementara menunggu maklum balas representasi tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menangguhkan keputusan rayuan pada  26 Ogos ini.

Mahkamah memberi penangguhan terakhir kerana kes itu sudah terlalu lama dan sebarang keputusan oleh pihak SPRM dan AGC perlu dimuktamadkan secepat mungkin.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk keputusan rayuan akhir Abdul Azeez untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Sewaktu mahkamah mula bersidang, Amer Hamzah memaklumkan, pihaknya menerima maklum balas dan surat balasan daripada SPRM pada Isnin lalu bahawa representasi masih dalam peringkat penyediaan.

Ujar peguam bela, beliau difahamkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan, petunjuk baharu yang diperolehi itu sedang diteliti dan pihaknya akan mengambil tindakan susulan serta mengadakan perbincangan dengan AGC.

Menurut Amer Hamzah, penangguhan itu adalah yang ketiga dan difahamkan AGC tiada bantahan terhadap permohonan pembelaan.

“Jika keputusan representasi kelak memihak kepada Abdul Azeez, mahkamah tidak perlu mengumumkan keputusan rayuan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memaklumkan, pihaknya mendapat arahan untuk tidak membantah permohonan penangguhan kerana wujud perkembangan terkini dalam kes berkenaan yang memerlukan pihak AGC untuk meneliti secara menyeluruh.

Pada peringkat itu, Hakim Kamaludin mencelah sambil mempertikai mengapa representasi itu mengambil masa yang lama untuk ditentukan walhal representasi dihantar sejak Mac lalu.

“Takkan nak ambil masa hingga setahun untuk buat keputusan,” ujarnya.

Sementara itu, Amer Hamzah ketika ditemui pihak media di luar mahkamah memaklumkan, mahkamah telah bersedia dengan keputusan itu.

Namun ujar beliau, jika representasi itu diterima, ini bermakna pertuduhan akan digugurkan dan kes terhadap Abdul Azeez selesai tanpa perlu mahkamah  mengumumkan keputusannya.

Ujar Amer Hamzah, beliau percaya Abdul Azeez mempunyai peluang yang cerah dalam rayuan itu, namun pihaknya perlu memajukan petunjuk baharu yang diperolehi kepada SPRM kerana ia sangat penting bagi membolehkan representasi diterima.

Amer Hamzah bagaimanapun tidak mendedahkan kandungan representasi tersebut kerana ia mengandungi maklumat sulit dan fakta tertentu yang memihak kepada Abdul Azeez.

Ujar beliau, perlu diingati bahawa pendakwaan terhadap Abdul Azeez dikemukakan di bawah Peguam Negara terdahulu dan pihaknya berpendapat, ia dilakukan secara tergesa-gesa tanpa melalui proses siasatan yang menyeluruh.

Pada 21 Mac 2021, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan Abdul Azeez berkata, mahkamah mendapati semua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibu negara pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Beliau turut didakwa atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Kesalahan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya