Peter Anthony mohon tangguh sabitan - Utusan Malaysia

Peter Anthony mohon tangguh sabitan

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony untuk menggantung sabitan salah yang dikenakan terhadapnya bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu akan didengar pada 28 Jun ini.

Permohonan tersebut sepatutnya didengar hari ini namun terpaksa ditangguhkan selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi cuti kecemasan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash ketika ditemui media selepas sebutan kes itu hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Pada tarikh tersebut, Azura membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tersebut namun denda masih perlu dijelaskan. Peter telah membayar denda tersebut. Tiada sebarang perintah berhubung sabitan salah.

Pada 11 Jun lalu, Peter memfailkan notis usul memohon agar sabitan tersebut digantung atas alasan sabitan salah itu akan menjejaskan peluangnya untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mana-mana individu yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah, dihukum penjara minimum satu tahun atau didenda melebihi RM2,000 dan masih belum menerima pengampunan atau dibatalkan sabitannya tidak boleh menjadi calon pilihan raya.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan oleh peguam belanya, D. Senthinathan bagi pihaknya, Peter menyatakan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan permohonan itu dibenarkan.

“Rayuan pemohon (Peter) di Mahkamah Tinggi akan menjadi tidak bernilai atau sia-sia jika pelaksanaan penghakiman dan sabitan terhadap pemohon tidak digantungkan.

“Pemohon akan diprejudiskan kerana sabitan terhadap pemohon akan membatalkan pencalonan pemohon dalam PRU15 yang bakal diadakan. Perkara ini juga akan memusnahkan keseluruhan asas rayuan pemohon di Mahkamah Tinggi,” kata dokumen itu.

Ketika membuat keputusan itu, Azura menyatakan tiada asas untuk meragui kredibiliti saksi-saksi pendakwaan terutama tiga saksi utama, sedangkan kerjaya dua daripada mereka turut terjejas selepas dikenakan tindakan tatatertib oleh UMS.

Mereka ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang, Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd. Said dan rakan Peter, Mohd. Shukur Mohd. Din.

Mahkamah menyatakan hanya Peter mempunyai kepentingan untuk mendapatkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan dan bersungguh-sungguh mendapatkannya bagi kepentingan sendiri dan syarikatnya, Asli Jati Engineering.

Mahkamah juga berpendapat, wujud keterangan yang mencukupi bahawa tertuduh telah menipu ketiga-tiga saksi utama dengan mengaburi pemikiran mereka berhubung perkongsian pintar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya